Dalam sibuk cari rezeki, peniaga tetap peduli politik

Tahap kecaknaan politik di kalangan rakyat kebanyakan di Kelantan ternyata masih berada pada tahap yang tinggi.

Ketika sebahagian besar mereka lebih tertumpu kepada mata pencarian, hal-hal anak sekolah, bergelut dengan turun-naik ekonomi, namun – politik tetap bukan sesuatu yang asing.

Bau beras wangi menusuk hidung di muka pintu Pasar Siti Khadijah, di jalan utama penarik beca menekuni kayuhan sementara di ruang niaga utama pasar, peniaga cekal memujuk pengunjung.

Negeri Cik Siti Wan Kembang yang sentiasa mencuri mata pandang pemerhati politik juga tidak terlepas daripada deria mata dan telinga rakyatnya yang sudah masuk 27 tahun di bawah pemerintahan parti PAS.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, Kelantan sekali lagi menjadi tumpuan selepas PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP susulan perpecahan dalaman yang mewujudkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kali ini, Malaysiakini menemuramah golongan peniaga kecil Kelantan secara rambang – khususnya sekitar Kota Bharu untuk mendengar keluh-kesah mereka terhadap perkembangan politik semasa.

Walaupun agak sukar untuk mendapat respons atas pelbagai sebab, masih ada rakyat yang terdiri daripada peringkat akar umbi yang sudi ditemuramah.

Bagi peniaga muda, Wan Mohd Hafizul Wan Hussin, 30, walaupun sibuk dengan perniagaan minyak wangi diusahakan, dia tetap meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan politik khususnya melibatkan negeri Kelantan.

“Zaman sekarang ini mudah, kita boleh membaca hal politik melalui internet.

“Saya jarang beli akhbar sekarang, baca melalui Facebook. Kalau nampak berita menarik saya bacalah,” katanya yang berasal dari Pintu Geng, Kota Bharu.

Bagi Arifeen Mohamad Ismail, 74, perkembangan politik diikuti melalui akhbar dan berita televisyen.

“Saya ambil maklum berita seperti PAS yang kini bersendirian selepas bekerjasama dengan PKR dan DAP sebelum ini.

“Saya juga sedar Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) beralih arah. Begitu juga dengan apa yang dilakukan kerajaan BN melalui pimpinan Datuk Seri Najib (Razak).

“Nanti pilihan raya kita pilihlah yang mana rasa terbaik,” katanya yang juga peniaga bahan bacaan di Bazar Buluh Kubu sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu bagi peniaga wanita yang mahu dikenali sebagai Kak Yah, perkembangan politik baginya tidak sepenting memberi tumpuan pada perniagaan yang dijalankan.

Namun kata wanita berusia lewat 40-an itu, apa yang berlaku tetap diambil maklum.

“Saya tengok berita, dengar orang berbual. Sedikit-sebanyak itu sampai jugalah.

“Cuma kita tidak terlalu beri perhatian, kalau orang ceramah (politik) dekat-dekat rumah pergi juga,” jelasnya.

Kelantan merupakan negeri yang sering menarik perhatian pemerhati politik antaranya kerana ia merupakan satu-satunya negeri yang ditadbir PAS di saat negeri-negeri lain sukar ditembusi parti itu.

PRU akan datang dijangka menjadi medan pertembungan antara PAS dan parti serpihannya sendiri, Parti Amanah Negara (AMANAH) selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diterajui Tun Dr Mahathir.

Sementara itu, BN yang selama ini merupakan lawan utama PAS di Kelantan dilihat semakin rapat dengan PAS meski belum ada apa-apa hitam putih kerjasama dalam pilihan raya.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password