‘Cikgu, saya tak curi telefon bimbit cikgu’

 

“Cikgu saya tak mencuri telefon bimbit cikgu. Saya sumpah”.

Demikian kata-kata terakhir ditulis oleh seorang murid 13 tahun dalam sepucuk suratnya sebelum cuba menggantung diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit di sebuah sekolah menengah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Dikenali sebagai Piriya, pelajar berusia 13 tahun itu kini dilapor bertarung nyawa selepas cuba menggantung diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit jenis iPhone6 milik gurunya.

Insiden membabitkan pelajar tingkatan satu itu berlaku pada 24 Januari lalu, lapor portal Berita daily.

Portal itu melaporkan, guru terbabit membawa Piriya ke sebuah bilik dan dikurung sebelum memaksa remaja itu mengaku mencuri telefon bimbit miliknya.

Gagal menunjukkan bukti, guru terbabit kemudian memalukan pelajar itu di hadapan rakan-rakan sekolahnya, lapor portal berkenaan.

Piriya juga tidak dibenarkan keluar pada waktu rehat dan selepas tamat waktu sekolah, guru tersebut bersama suaminya (juga seorang guru) menghantar remaja itu ke rumah menaiki keretanya.

Sesampainya di rumah, Piriya sekali lagi dituduh mencuri di hadapan ahli keluarganya mengakibatkan Piriya menulis sepucuk surat kepada cikgu tersebut dan ibu bapanya sebelum cuba menggantung diri.

Dalam surat itu, pelajar itu menegaskan tidak mencuri telefon tersebut dan meminta maaf kepada ibu bapa akibat insiden yang berlaku.

“I want to thank my parent for take care me. I love you so much and i am so sorry,” tulis Piriya dalam suratnya sebelum cuba menggantung diri dengan menggunakan kain selendang.

Sementara itu, Setiausaha DAP Batu Kawan, Satees Muniandy mengecam sikap tidak bertanggungjawab guru sekolah tersebut.

“Walaupun, beliau masih berusia 13 tahun, tidak bermakna beliau boleh dimalukan di depan rakan dan ibu bapa. Ada cara untuk menyiasat kes-kes sebegini,” katanya ketika dihubungi Berita Daily.

Menurut Satess, Piriya kini kritikal dan sedang menjalani rawatan di Hospital Seberang Jaya. Beliau turut meminta orang ramai berdoa agar pelajar itu kembali pulih.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password