Calon SPM lemas, tergelincir di Sungai Besut

Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui lemas setelah tergelincir lalu terjatuh ke dalam Sungai Besut kira-kira pukul 5 petang tadi.

Zulfaiz Zukarlmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, Terengganu merupakan antara pelajar terbaik sekolah tersebut dan sempat menduduki kertas Ekonomi Asas SPM pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi yang mengesahkan kejadian itu berkata mayat mangsa dijumpai berdekatan kawasan dia dilaporkan tergelincir, beberapa minit kemudian.

Sementara itu datuk mangsa, Hashim Seman, 61, ketika ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Besut berkata cucunya itu tinggal bersamanya sejak berusia 14 tahun setelah bapanya meninggal dunia dan ibunya berhijrah ke Dungun.

Katanya sebelum kejadian, Zulfaiz bergegas keluar rumah untuk menemui rakannya berdekatan jambatan kayu di sungai tersebut, yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya di Bukit Payong.

Pelajar harapan, 10A peperiksaan PT3

“Ketika berada di situlah cucu saya dikatakan tergelincir dan terjatuh ke dalam Sungai Besut yang ketika itu airnya sangat dalam akibat hujan lebat,” katanya yang mengakui sering kali mengingatkan mangsa supaya tidak ke sungai di musim tengkujuh kerana bimbang berlaku pelbagai musibah ekoran Zulfaiz tidak tahu berenang.

Hashim berkata mayat cucunya itu ditemui oleh anaknya (bapa saudara mangsa) Mohamad Azam, 17, yang turut berada di tempat kejadian dan bertekad terjun ke sungai untuk cuba menyelamatkan mangsa.

Beliau yang bekerja sebagai petani sempat melahirkan perasaaan terkilan kerana cucunya itu merupakan pelajar harapan sekolah dan pernah memperoleh 10A dalam peperiksaan PT3 dua tahun lepas.

Turut berada di rumah mayat ialah Ketua Pegawai pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan, Pengetua sekolah, Abdullah Zawawi, guru-guru dan penduduk kampung.

 

-Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password