‘Bye-bye’ GST, kata bajet HARAPAN


Belanjawan 2018 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pada hari Jumaat ini manakala bajet alternatif oleh Pakatan Harapan biasanya pula akan didedahkan kepada umum beberapa hari awal.

Ramai kata, bajet Najib ini adalah belanjawan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan digunakan untuk memancing undi agar cita-cita untuk menguasai dua pertiga Dewan Rakyat akan dapat dicapai.

Jika PRU14 akan diadakan dalam suku pertama tahun depan, Najib pastinya akan menggunakan belanjawan kali ini untuk menunjukkan BN masih mampu menguruskan ekonomi dan rakyat pula ‘dihadiahkan’ dengan pelbagai tawaran lebih menarik.

‘Gula-gula’ pilihan raya telah menjadi suatu jangkaan yang pasti menjelang setiap PRU dengan kebanyakan rakyat akan tersenyum lebar dan mencipta ‘feel good factor‘ untuk BN mendapat lebih banyak undi.

Belanjawan HARAPAN

Bajet alternatif oleh HARAPAN pula dibuat dengan tujuan mahu menarik perhatian rakyat negara ini agar mengundi mereka pada PRU14 daripada memangkah BN sejajar dengan impian pembangkang untuk menawan Putrajaya dengan bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bajet alternatif dikatakan menumpukan kepada pemansuhan beberapa dasar monetari sejajar dengan rungutan rakyat mengenai ketidakupayaan untuk menampung kos sara hidup.

Antaranya, bajet alternatif ini dikatakan mahu menunjukkan betapa Malaysia masih mampu membangun dan mencatatkan defisit belanjawan yang rendah walaupun tanpa melaksanakan GST.

GST menjadi isu yang hangat kerana telah menyebabkan kenaikan tidak terkawal harga barangan, lonjakan kadar inflasi dan ia pastinya menjadi tumpukan pembangkang untuk menyerang kerajaan pimpinan Najib.

Cabaran pembangkang

Antara cabaran pembangkang untuk berbuat demikian ialah cara untuk menampung semula pendapatan negara akibat ‘kehilangan pendapatan ini apabila GST dimansuhkan.

Lebih dari itu, bagaimana HARAPAN mampu untuk mengekalkan jumlah kakitangan awam sedia ada tanpa perlu meneruskan GST jika berjaya ke Putrajaya.

Pada masa yang sama, pembangkang juga dikatakan mahu memperkenalkan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara berbanding RM1,000 di Semenanjung Malaysia pada masa ini.

Dengar-dengar, bajet alternatif ini juga akan menyentuh soal perumahan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri dan beberapa pembaharuan Felda yang begitu hebat dikritik HARAPAN sebelum ini.

Felda menjadi tumpuan kedua-dua belah pihak kerana organisasi tersebut menjadi periuk nasi kepada ratusan ribu peneroka yang kebanyakannya adalah orang Melayu yang akan menentukan siapa layak menerajui negara ini.

Keyakinan rakyat

HARAPAN juga perlu meyakinkan rakyat mengenai tindakan yang akan dilakukan untuk menjayakan rancangan menjana penjimatan berpuluh bilion ringgit hasil dari usaha mengelakkan pembaziran dan rasuah di semua peringkat.

Semoga HARAPAN berjaya menyakinkan rakyat di semua lapisan masyarakat mengenai kehebatan bajet alternatif ini dan sekaligus, membuktikan negara ini mampu terus menikmati kemakmuran tanpa GST.

Dengan adanya dua versi belanjawan oleh pemerintah dan pembangkang, rakyat kini berpeluang untuk membuat perbandingan dan menjadikannya antara faktor penting dalam menentukan siapa pemiliki undi mereka pada PRU14.

Jika kedua-dua pihak boleh menunjukkan siapa lebih jaguh dalam menguruskan ekonomi negara, mungkin rakyat akan memilih siapa lebih juara dalam sekurang-kurangnya tidak menipiskan poket mereka, kalau tidak menambah simpanan di bank.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password