Bukit Aman ambil alih siasatan pembocoran dokumen saksi SPRM

 

Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes dokumen SPRM yang dikatakan mengandungi kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor di media sosial, kata polis Johor.

Dokumen tersebut berkaitan kes penukaran status hartanah yang melibatkan bekas exco kerajaan negeri Datuk Abdul Latif Bandi, yang dihadapkan 33 pertuduhan rasuah hartanah melibatkan RM30.3 juta awal tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam kenyataan turut mengesahkan pihaknya telah menerima tiga laporan berhubung perkara itu.

“Kes ini telah diambil alih oleh pihak Bukit Aman untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Dokumen itu antara lain turut mengaitkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam skandal hartanah itu.

Semalam, salah seorang tertuduh dalam kes itu, Amir Shariffuddin Abd Raub membuat laporan polis berhubung kebocoran itu di Balai Polis Sentral, Johor Bahru.

Ketua Polis Negera, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti dilapor Sinar Harian 29 November lalu pula mengesahkan telah menerima laporan daripada pihak SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pembocoran dokumen yang dikelaskan sebagai rahsia itu adalah perkara serius.

“Memandangkan kes melibatkan bekas exco negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah,” kata Azam lagi.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password