Bruno Mars dapat durian runtuh

 

Majlis Anugerah Grammy ke-60 pagi tadi menyaksikan penyanyi Bruno Mars menjadi artis paling berjaya apabila menerima hadiah terbanyak, malah memenangi semua enam kategori yang melibatkan namanya.

Anak kelahiran Honolulu, Hawaii itu meraih kejayaan untuk kategori Album Terbaik Ini dan Rekod Tahun Ini melalui 24K Magic.

Mars juga mengungguli kategori lagu R&B terbaik dan persembahan R&B terbaik melalui lagu That’s What I Like. Lagu berkenaan turut terpilih bagi kategori Lagu Tahun Ini.

24K Magic turut memenangi kategori album R&B terbaik di majlis yang berlangsung di Madison Square Garden, New York.

“Oh Tuhan. Terima kasih tidak terhingga kepada anda semua. Wow. Saya ingin mendedikasikan anugerah ini untuk pengubah lirik seperti Babyface, Teddy Rile, Jimmy Jam dan Terry Lewis,” katanya.

Lagu That’s What I Like berjaya mengalahkan Despacito, nyanyian Luis Fonsi dan Daddy Yankee yang turut memaparkan Justin Bieber, Jay-Z (The Story Of OJ), Julia Michaels (Issues) dan Logic (1-800-273-8255) gandingan dengan Alessia Cara dan Khalid.

Christopher Brody Brown, James Fauntleroy, Philip Lawrence, Bruno Mars, Ray Charles McCullough II, Jeremy Reeves dan Ray Romulus & Jonathan Yip dinyatakan sebagai pengubah lirik That’s What I Like.

Acara Grammy bertujuan mengiktiraf penyanyi dan pengubah lirik di sebalik lagu-lagu hit yang disiarkan.

Terdahulu, ramalan Grammy untuk Lagu Tahun Ini berpecah kepada dua dengan ada antaranya meramalkan lagu antarabangsa Despacito sebagai pemenang kerana berjaya memecah rekod carta dan streaming apabila paling kerap dimainkan di seluruh dunia.

Jay untuk presiden

Sebahagian yang lain memilih That’s What I Like, lagu yang juga menduduki carta paling atas musim panas ini.

Bagaimanapun, Jay-Z yang juga suami kepada penyanyi Beyonce – mengalami nasib yang sama sekali berbeza daripada Mars.

Walaupun dia mendapat pencalonan paling banyak – iaitu lapan kategori – dia pulang dengan tangan kosong saja.

Jay-Z turut kalah kepada Kendrik Lamar dalam kategori rap.

Lamar pulang bersama lima anugerah termasuk Album Rap Terbaik melalui lagu Damn dan Lagu Rap Terbaik (Humble).

“Ini sangat istimewa. Saya mengagumi begitu ramai tokoh yang berada di sini hingga ke hari ini,” katanya yang menamakan Jaz-Z, Nas dan P Diddy sebagai inspirasinya.

Lamar turut menamatkan ucapannya dengan menyebut: “Jay untuk presiden.”

Sementara itu, calon lain yang turut berjaya membawa pulang anugerah adalah Ed Sheeran bagi kategori Persembahan Pop Solo (Shape of You) dan Pop Album Vokal (÷), Album Kontemporari Urban The Weeknd (Starboy) dan Lagu Rock Foo Fighters (Run).

Penganjuran anugerah itu turut diserikan dengan persembahan hebat oleh barisan artis ternama termasuk Bono, The Edge, Kendrik Lamar, Mark Ronson, Lady Gaga, Sam Smith, Pink, Bruno Mars, Cardi B dan ramai lagi.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password