Bono U2 gesa Suu Kyi letak jawatan

 

Vokalis U2, Bono menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi meletak jawatan kerana gagal menghalang kempen pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Bono pernah menjadi tunggak utama dalam kempen untuk membebaskan Suu Kyi ketika wanita itu dikenakan tahanan dalam rumah oleh tentera Myanmar.

Malah dia pernah membawakan lagu Walk On dengan mengajak peminat memakai topeng Suu Kyi sebagai tanda sokongan kepada pemenang anugerah nobel keamanan itu sewaktu membuat persembahan.

Bagaimanapun, pandangan Bono terhadap Suu Kyi kini telah berubah apabila mengatakan dia geram melihat gambar-gambar pembunuhan etnik Rohingya.

“Ia benar-benar berlaku dan beliau perlu meletakkan jawatan kerana maklum ini adalah perkara yang sebenarnya terjadi.

“Beliau sekurang-kurangnya perlu terbuka untuk bercakap, jika orang ramai tidak mendengar, beliau sepatutnya meletakkan jawatan,” katanya seperti dilapor Channel News Asia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat turut menyifatkan tindakan Myanmar ke atas penduduk yang tidak diiktiraf sebagai rakyat negara itu – kebanyakannya terdiri daripada muslim Rohingya – sebagai penghapusan etnik.

Sebuah badan bukan kerajaan, Doctors Without Borders berkata, sekurang-kurang 6,700 etnik Rohingya terbunuh pada bulan pertama sewaktu tentera Myanmar memusnahkan perkampungan mereka sebagai tindak balas ke atas serangan pemberontak.

Sebanyak 655,000 lagi etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran iaitu Bangladesh.

Suu Kyi, penerima Anugerah Keamanan 1991 pernah mendapat sokongan meluas daripada selebriti antarabangsa sewaktu beliau dikenakan tahanan rumah hampir dua dekad di bawah perintah junta tentera Myanmar.

Suu Kyi

Peralihan Myanmar kepada demokrasi dan pelantikan Suu Kyi tahun lepas pada awalnya menggembirakan kumpulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar menjadi kemarahan kerana sikap tidak bertanggungjawab beliau dalam menangani isu Rohingya.

Sesetengah pakar berpendapat Suu Kyi enggan mengambil risiko dalam politik disebabkan etnik Rohingya dibenci majoriti Buddha Myanmar, malah beliau juga tidak mempunyai kuasa ke atas tentera negara itu.

Berpendapat yang sama, bagi Bono, Suu Kyi merupakan seorang pemimpin yang gagal.

“Mungkin beliau tidak mahu kehilangan jawatannya ke atas tentera. Tetapi sebenarnya beliau sudah pun kalah, dalam gambaran realitinya,” katanya.

Awal bulan ini, Dublin tempat kelahiran Bono membatalkan anugerah Kebebasan Dublin yang diberikan kepada Suu Kyi sebagai tanda protes cara beliau menangani keganasan.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password