BN lebih bersedia hadapi asakan pembangkang kali ini

 

Setiap anggota Umno perlu memberikan fokus dalam memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang dengan cemerlang pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib presiden Umno itu yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno itu berkata justeru, Umno perlu mengekalkan daya tahan, daya saing dan daya juangnya bagi mencapai matlamat tersebut.

Jika elemen itu mampu diterapkan ke dalam parti dan didokong oleh kempimpinannya, Umno akan terus kukuh biarpun dihujani dengan pelbagai dugaan dan cabaran, katanya ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara Khas, Bernama News Channel sempena persidangan agung Umno 2017.

“Dalam hal ini, rasa untuk berkerja sebagai sebuah pasukan dan kebersamaan itu harus diperkukuhkan, biarlah dihujani dengan apa-apa isu,” katanya.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan parti untuk menghadapi PRU akan datang, beliau berkata Umno dan BN lebih bersedia untuk menghadapi asakan pembangkang berbanding PRU sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata justeru adalah amat penting bagi setiap anggota dan perwakilan Umno yang akan menghadiri perhimpunan agung mulai 5 hingga 9 Disember ini, untuk sentiasa bersiap siaga dan mempamerkan kekuatan parti, apatah lagi ia merupakan perhimpunan agung yang terakhir sebelum PRU.

Katanya, Umno juga telah mengkaji metodologi pengkaderan dan strategi yang digunakan parti politik di seluruh dunia termasuk kejayaan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dalam pilihan raya umum negara itu yang lalu.

“Kita lihat bagaimana LDP di Jepun telah mengalami keadaan sebagaimana Umno dan BN, tetapi lihat dalam PRU Jepun yang lalu, (Perdana Menteri) Shinzo Abe (yang memimpin LDP) buat pertama kalinya dalam berdekad-dekad mendapat dua pertiga suara majoriti, apabila pihak yang menentang akhirnya berpecah sesama sendiri.

“LDP sebagai sebuah parti yang kukuh dapat menterjemahkan semangat sepasukan, maka jelas kemenangan memihak kepadanya,” katanya.

Beliau menjelaskan kesiapsiagaan Umno bukanlah bermusim atau hanya untuk pilihan raya semata-mata, sebaliknya ia adalah sesuatu yang berterusan yang perlu diterjemahkan sepanjang masa dengan menunaikan segala agenda dan aku janji yang dilaungkan sebelum pilihan raya.

“Oleh kerana kita konsisten, maka akhirnya kita telah bersiap siaga dalam waktu yang telah ditentukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat keseluruhannya,” kata Ahmad Zahid.

Beliau juga meminta anggota Umno melupakan seketika soal pemilihan dalaman parti pada perhimpunan agung kali ini, sebaliknya memberi fokus dan penumpuan kepada agenda menghadapi PRU akan datang.

Beliau berkata soal jawatan dalam parti akan menjadi tidak relevan sekiranya Umno dan BN gagal mencapai kemenangan atau sekadar memperolehi majoriti yang kecil dalam plihan raya itu.

“Apa maknanya kita memegang sesuatu jawatan dalam parti tetapi kita kecundang dan tidak dapat membentuk kerajaan, itu saya fikir tidak lagi relevan. Biarpun kita berada di kerusi-kerusi yang empuk atas pentas politik, maka tidak ada sebarang makna jika kita tidak dapat membentuk kerajaan.

“Saya fikir kita harus memberi keutamaan dalam perkara ini (PRU14), keutamaan ini harus kita tekankan dan saya ulangi, berikan fokus untuk memenangani PRU14 ini dengan cemerlang,” katanya.

Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password