BN bimbang pengaruh Shafie satukan kaum di Sabah

Parti Warisan Sabah (WARISAN) percaya tindakan pihak berkuasa ke atas presiden parti itu dibuat kerana tokoh terbabit mampu menarik sokongan pelbagai suku kaum di negeri berkenaan.

Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking berkata tindakan seumpama itu jugalah yang dilakukan kerajaan ke atas pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya Anwar berjaya menyatukan parti-parti pembangkang sehingga mampu membentuk Pakatan Rakyat suatu ketika dulu.

“Bukan sebab dia calon utama perdana menteri baru, tetapi dia adalah tokoh tunggal yang boleh memastikan tiga parti pembangkang utama kekal bersatu di bawah Pakatan Rakyat

“Sama macam Datuk Seri Shafie Apdal. Sebab utama Shafie ditahan…. (ialah kerana) dia menjadi faktor (penyatu) yang berpotensi mengetuai perubahan rejim di Sabah.

“(Shafie boleh menyatukan) orang Sabah dari semua warna kulit, kepercayaan dan latar belakang. Faktor ini ditonjolkan dalam laporan Bloomberg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafie ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan di Kota Kinabalu.

Shafie ialah ahli politik kanan di Sabah dan pernah menjadi pengerusi Umno negeri berkenaan, selain dilantik menjadi naib presiden parti itu.

Biasa tukar kerajaan di Sabah

Bagaimanapun selepas lantang mempertikaikan isu 1MDB serta dana yang masuk ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak, Shafie digantung keahliannya oleh Umno.

Beliau kemudian menubuhkan WARISAN yang menjadi parti politik domestik dan dilihat berpotensi mencabar BN pada pilihan raya umum akan datang.

Petang tadi SPRM berjaya mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk menahan reman Shafie selama empat hari.

Bekas menteri kemajual luar bandar dan wilayah itu disiasat berhubung dana RM1.5 bilion kerajaan persekutuan yang digunakan dalam projek pembangunan di Sabah.

Menurut Leiking (gambar), sejak WARISAN ditubuhkan tahun lalu Shafie menjadi sasaran serangan berterusan pemimpin BN Sabah.

Antaranya kata anggota parlimen Penampang itu Shafie dituduh mengabaikan Semporna serta wilayah pantai timur Sabah.

Pada masa sama kata Leiking pemimpin BN Sabah tidak sedar tindakan itu mendedahkan bahawa kerajaan negeri sebenarnya mengabaikan kawasan terbabit, bukannya Shafie.

“Shafie digambarkan mempunyai kuasa utama kementerian dan boleh berbuat apa saja untuk Sabah ketika Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menjadi pihak kedua membangun serta melindungi negeri ini.

“Apabila semua usaha ini gagal, tinggal satu cara untuk mengekang pengaruh kian besar Shafie dan WARISAN iaitu mereka-reka tuduhan dan menahan beliau,” katanya.

Namun kata Leiking penahanan Shafie tidak akan menyekat WARISAN daripada terus meraih sokongan, malah memberi amaran, perubahan kerajaan bukan sesuatu yang asing di Sabah.

[Baca berita asal]



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password