Berapa kos Islam Hadhari, wasatiyyah?


Dengan siri insiden dan isu melibatkan Islam dan penganut Islam di Malaysia sebulan ini, saya tertanya-tanya sendiri, dengan tahun Hijrah yang baru bermula, apakah kita masih sama sahaja atau semakin menurun taraf ‘keislaman’?

Sepanjang enam dekad kemerdekaan, secara umumnya bermula daripada dasar islamisasi di bawah Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita melalui peningkatan pengunaan nama Islam dari universiti, bank, tadika, sekolah, jabatan kemajuan hingga media.

Selain parti Islam dan pelbagai NGO Islam yang hidup mati memeriahkan suasana.

Ada berkata kita sebuah negara Islam kerana perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara. Ada kata tidak sebab perlembagaan yang ditulis oleh penjajah itu tidak meletakkan Islam sebagai perundangan utama.

Baru-baru ini seorang timbalan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam berkata, parti BN akan tetap menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Jadi, kita belum sebuah negara Islam selama ini?

Bertambah mengelirukan yang perdana menteri sendiri pernah mengatakan hudud tidak sesuai untuk negara kita.

Bukan agama baru

Sewaktu Pak Lah menjadi perdana menteri, tentu masih ingat mengenai kempen atau inisiatif atau program Islam Hadhari.

Dari Wikipedia, Islam Hadhari atau “Islam yang bertamadun” merupakan teori kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan Islam daripada al-Quran.

Ia bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukan mazhab baru. Ia adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas Islam menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan Tamadun Islam.

Visi Islam Hadhari adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah contoh negara Islam.

Misi Islam Hadhari adalah untuk melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang.

Objektif Islam Hadahri adalah untuk Melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.

Prinsip Islam Hadhari:

1.Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t.
2.Kerajaan Adil dan Beramanah.
3.Rakyat Berjiwa Merdeka.
4.Penguasaan Ilmu Pengetahuan.
5.Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif.
6.Kehidupan Berkualiti.
7.Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
8.Keutuhan Budaya dan Moral.
9.Pemeliharaan Alam Semulajadi.
10.Kekuatan Pertahanan.

Begitu murni sekali usaha Islam Hadhari sehingga menjadi slogan di mana-mana.

Wafat tanpa kubur

Setelah jutaan, mungkin bilion ringgit dibelanjakan hangus, termasuk ada institut Hadhari, selain sesi kempen penerangan termasuk merata dunia, Islam Hadhari wafat tanpa kubur.

Apakah kesan dari Islam Hadhari kepada negara, terutama umat Islam?

Saya tidak pasti kerana semenjak Pak Lah pencen, tiada siapa berminat untuk membuat susulan atau penyelidikan tesis PhD, yang tentu lebih baik dari tesis Phd timbalan perdana menteri ketika ini, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenai manifesto BN dalam pilihan raya.

Kemudian, sebaik Najib Razak menjadi perdana menteri, kita dimomokkan pula dengan dasar wasatiyyah. Katanya, wasatiyyah itu bererti kesederhanaan, jalan tengah, tidak ekstrem dan berimbang.

Maka ditubuhkan Institut Wasatiyyah serta Global Movement for Moderation untuk menjadi penggerak wasatiyyah di Malaysia dan merata dunia.

Kata mereka yang berwasatiyyah, Malaysia adalah negara Islam terbaik untuk menjadi model negara wasatiyyah.

Belanja negara tidak wasatiyyah

Begitulah propaganda yang pastinya dibuat oleh pakar strategi di bawah kepimpinan wasatiyyah yang sedang dikenali di dunia sebagai pemimpin kleptokrat.

Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai terutama GST, saya sendiri tidak faham mengapa perlu ada hadhari dan kini wasatiyyah.

Apalagi melihat kepimpinan yang mencanang hadhari dan wasatiyyah itu cakap tidak serupa bikin.

Para politikus yang memegang kuasa bukan sahaja tidak mengamalkan wasatiyyah malah tidak hadhari. Apa yang mereka lakukan di bawah sumpah, tidak islamik dan kalau islamik pun, sekadar hiasan untuk menarik pengundi dan pengikut taksub.

Semenjak wasatiyyah diuar-uarkan, tidak tahu berapa kos perbelanjaan dan berapa banyak yang sudah hangus, kalau tidak masuk poket mereka yang tentunya mempunyai kepentingan.

Apakah kesannya dasae wasatiyyah bila perbelanjaan kerajaan dan hutang negara tidak wasatiyyah?

Pelbagai label

Selain wasatiyyah, kita juga mempunyai label-label seperti Islam Liberal, wahabi, shiah, sekular, anti-hadis, antaranya.

Kalau mengikuti komen-komen para pengikut ‘politikus ulamak’, ‘ulamak’ dan ustaz, di Facebook, Whatsapp dan media atas talian, lebih terserlah perpecahan serius sehingga maki hamun begitu biasa.

Perbedaan pendapat serta ketaksuban terlampau mengikut fahaman dan pegangan masing-masing menambahkan kecelaruan yang sukar untuk diselesaikan.

Begitu banyak masa, tenaga dan kos terbuang akibat pertelagahan daripada pelbagai perbedaan akibat kefahaman dan ketaksuban. Kebencian membuatkan perspektif menjadi sempit dan hanyut.

Tentunya dalam masa yang sama, ekonomi terus dikuasai oleh orang bukan Islam, produk halal juga terus dikuasai orang yang dituduh tidak basuh berak dan makan babi, dan penganut agama Islam terus majoriti sebagai penerima BR1M, penagih dadah, penjenayah, perasuah, korup dan penganggur.

Maka kita teruslah salahkan Yahudi, Zionis, Kristian, DAP, Cina, Rusia, China, komunis, Arab dan apa sahaja bogeyman kerana kita adalah bangsa yang tak hilang di dunia walau semuanya bakal tergadai atas nama ketuanan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password