Berang diejek, pelajar tingkatan 4 cederakan junior

 

Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Kepala Batas di Pulau Pinang cedera selepas dilapor dipukul lebih 15 pelajar tingkatan empat sekolah itu awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pelajar berusia 14 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 malam tadi selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kepala Batas.

“Menurut pelajar itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi di tingkat tiga koridor asrama lelaki sekolah berkenaan dan ia dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar tingkatan empat kerana diejek dan ditertawakan,” katanya di Georgetown hari ini.

Beliau berkata pelajar tingkatan empat itu bertindak memanggil kira-kira 30 rakannya dan 15 daripada mereka telah memukul, menampar dan menendang mangsa serta tiga lagi rakannya juga pelajar tingkatan dua menyebabkan lebam dan luka calar di kaki serta badan. Namun hanya seorang pelajar yang tampil membuat laporan polis, katanya.

“Polis telah memanggil beberapa pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu hari ini untuk direkodkan keterangan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan lanjut kes itu dijalankan,” katanya.

Serangan parang dan pedang samurai

Sementara itu, dalam perkembangan lain Noorzainy berkata seorang lelaki berusia 30-an cedera parah selepas dipukul sekumpulan lelaki menggunakan parang dan pedang samurai di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Ong Yi How, Mak Mandin dekat sini pada pukul 3.20 pagi semalam.

Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu dilapor dipukul selepas meminta seorang lelaki yang berada di belakang keretanya untuk ke tepi kerana menghalang laluannya hendak mengeluarkan kenderaan yang diletakkan di situ.

“Suspek tiba-tiba menjadi berang dan memukul serta melibas mangsa menggunakan parang dan memanggil empat lagi rakannya yang lain yang bersenjatakan pedang samurai. Mereka membelasah lelaki itu menyebabkan kecederaan parah di muka, patah tangan kanan, koyak bahu kiri dan retak pada tulang bahu kiri,” katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 30-an dalam dua serbuan di Butterworth pada pukul 11 malam tadi dan usaha mengesan tiga lagi rakan mereka giat dijalankan.

-Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password