Benjy dipenjara, adik ikrar harapan dan setia

Biar apa terjadi air dicincang tidak akan putus.

Ketika sesetengah orang memandang serong – malah mengeji – Benjy yang dihukum penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan dadah, adiknya tampil menjernihkan keadaan.

Kata Elza Irdalynna, hubungan kekeluargaan mereka tidak akan putus dan dia akan bersama-sama Benjy melalui detik dugaan yang melanda.

Melalui Twitter Elza berkata selama ini dia hanya mendiamkan diri namun akhirnya berasa perlu menyuaraka sesuatu berhubung kemelut yang melanda abangnya itu.

“Ben – walau apa segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya – adalah darah daging saya.

“Dia ialah abang yang menjaga saya dan adik kami apabila ibu bapa kami keluar bekerja,” katanya melalui catatan yang agak beremosi itu.

Sejak awal lagi kata Elza Benjy mengorbankan masanya bermain seperti kanak-kanak lain untuk menjaga adik-adiknya.

“Dialah yang melindungi saya ketika saya memerlukan perlindungan. Dia adalah perisai untuk adik-adiknya.

“Saya berasa lebih berani apabila tahu dia adalah abang saya,” kata Elza lagi.

Benjy dan Elza ialah anak kepada seniwati terkenal era 1970-an dan 1980-an, Azean Irdawaty.

Seorang lagi anak aktres dan penyanyi itu ialah Inessa Irdayanty.

Sentiasa ada di sisi

Seperti Azean, Benjy dan Elza turut menceburi bidang lakonan. Benjy, 39, pernah membintangi filem berjudul Perempuan pada 1988.

Kira-kira lapan tahun kemudian Benjy – atau nama sebenarnya Khaireyll Benjamin Ibrahim – mengungguli kategori pelakon lelaki terbaik Anugerah Skrin melalui filem Kembali.

Elza pula muncul di layar perak membawa watak Mawar dalam filem terbitan 2009, Talentime.

Baru-baru ini sebuah mahkamah di Medan, Indonesia, menjatuhi hukuman penjara 11 tahun ke atas Benjy selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah jenis methamphetamine pada April lalu.

 

 

Dia ditahan bersama dadah berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu.

Kata Elza tidak ada yang dapat memutuskan hubungan mereka sebagai adik-beradik.

“Tidak kira berapa tahun – tidak 14 tidak 11 – yang dapat memutuskan ikatan kita kerana persaudaraan ini abadi.

“Saya tidak menilainya dengan kesalahan yang dilakukan. Saya menyayangi dia sebagai abang saya. Saya maafkan dia sebagai ahli keluarga.

“Dia ada jalan yang masih jauh untuk berubah. Tapi sebagai adik, saya akan sentiasa di sisinya sehingga ke akhir,” katanya.





Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password