Bencana ‘kepala bapak kau!’


Sewaktu saya tiba di kawasan yang dikatakan antara bencana dan malapetaka paling teruk pernah
berlaku, apabila bumi dijungkirbalikkan, dihancurkan di zaman Nabi Lut AS, tiba-tiba saya terasa loya, mual, sakit perut, pening, mahu muntah terhidu bau paling busuk, tengit dan menyucuk-nyucuk.

Tidak pernah saya terhidu bau yang lebih teruk sebelum itu. Bau gas seakan dari manusia sedang
dibakar hidup-hidup.

Pandangan menjadi gelap dan mahu pitam serta merta.

Rakan yang menjadi pemandu pelancong bertanya, apakah saya tidak mendengar suara-suara dari
bawah bumi yang masih terlolong, menjerit-jerit , meraung-raung dan menangis?

Saya tidak pasti sama ada dia bergurau atau benar-benar berlaku ketika itu.

Yang pasti, bencana ribuan tahun dahulu yang diceritakan dalam al-Quran menjadikan saya begitu kecil dan dalam penuh keinsafan mengenai kebesaran Ilahi yang meninggalkan tapak bencana sebagai peringatan untuk kita yang hidup di era akhir zaman.

Kalau saya masih dapat merasakan serpihan kecil bencana akibat keingkaran manusia di zaman Nabi Nuh, tidak terbayangkan betapa dahsyatnya suasana ketika bumi diterbalikkan.

Paling hampir dengan bencana besar apabila sebaik saya mendarat dari Los Angeles, berita gempa bumi terburuk melanda Los Angeles menyambut saya. Terasa gementar membayangkan kalau saya masih berada di sana.

Paling terbaharu apabila gempa bumi di Iran lebih sedekad gegarannya turut dirasai di UAE. Mangnitud pada skala 6.6 di bandar Bam itu dikatakan mengorbankan sejumlah 30 ribu orang.

Tidak terbayangkan bagaimana keadaan dan tentunya impak masih dirasai sehingga kini.

Begitu banyak bencana alam yang telah berlaku dan apa pun ulasan, seperti mana kejadian banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini, antara perkara penting yang sering diabaikan ialah persiapan dalam menghadapi bencana.

Saya terasa jengkel, mual dan meluat dengan komen-komen negatif, dendam, kebencian, ketaksuban dalam media sosial yang mengambarkan mentaliti dan sikap ramai warga Malaysia.

Terutama dari golongan yang solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadan dan merasakan mereka lebih suci, beriman, lebih dekat kepada Tuhan berbanding orang lain.

Menuding jari, menyalahkan mana-mana pihak dan mengambil kesempatan dari bencana sudah
menjadi lumrah masyarakat kita. Melupakan apa yang prioriti dan apa yang membuang masa.

Begitu juga para politikus yang cuba mendapat mileage politik, gimik pilihan raya umum dari bencana. Seperti biasa, para politikus menjadi sebahagian dari drama pasca bencana. Suka atau tidak, para politikus adalah sebahagian, kalau tidak punca utama bencana yang berlaku.

Positifnya, bencana turut menyatukan ramai warga tanpa mengenal bangsa, agama dan politik. Mungkin itu juga rahmat disebalik bencana. Para anggota keselamatan dan sukarelawan bergandingan bahu memberikan bantuan.

Itulah wajah harmoni yang mesti menjadi norma kehidupan selepas enam dekad merdeka.

Paling menarik ialah foto orang bukan Islam menumpang di sebuah surau. Apa pun komen negatif, dalam keadaan kecemasan, nyawa manusia paling diutamakan.

Paling ketara dari bencana yang pernah terjadi ialah kita tidak pernah bersedia walaupun banjir berlaku setiap tahun dan semakin teruk, kerana dikatakan akibat kemusnahan alam.

Pihak kaji cuaca tentunya mempunyai peralatan canggih untuk mengesan apa-apa perubahan cuaca.

Amaran secukupnya mesti diberikan untuk menghidarkan tragedi lebih teruk.

Saya tidak pasti sejauh mana persiapan kerajaan secara keseluruhan dalam menghadapi bencana,
mungkin ada perbelanjaan tahunan yang diperuntukkan. Termasuk alat-alat, jentera yang diperlukan untuk bantuan segera.

Pasukan penyelamat yang dilatih, sama ada sepenuh masa atau sukarela sudah amat diperlukan.

Negara Jepun mempunyai pasukan penyelamat terbaik yang sentiasa bersedia kerana negaranya memang kerap berlaku bencana.

Panggilan awal pagi seorang ketua menteri kepada timbalan perdana menteri untuk memohon bantuan mengambarkan banyak perkara yang tidak kena.

Persediaan juga kepada semua peringkat masyarakat. Dari para pelajar sehingga politikus, para YB yang kelihatan terkial-kial dan hopeless, iaitu tidak tahu apa nak dibuat.

Sememangnya, apabila bencana berlaku, terutama tidak dijangka, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mangsa. Kehilangan harta benda, selain kehilangan nyawa bukan sesuatu yang mudah.

Mereka yang berkuasa mesti terus mempelajari dari bencana dan tindakan bukan sekadar
mengikut musim. Persediaan sepanjang masa.

Kerajaan UAE juga mempunyai persediaan dengan kelengkapan dan ‘bunker’ makanan untuk
kecemasan. Penubuhan National Emergency Crisis and Disasters Management Authority, NCEMA untuk menjamin keselamatan dan perlindungan kepada semua penduduk selain menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan di mana-mana sahaja.

Inisiatif mengumpulkan dan melatih sukarelawan secara berterusan menjadi usaha NCEMA yang
melibatkan semua penduduk UAE.

Tahniah kepada semua yang bertungkus lumus memberi bantuan dan kepada mangsa, apa sahaja yang berlaku mempunyai hikmah. Semoga terus tabah dan semakin kuat dalam menghadapi ujian.

Bencana, malapetaka, krisis dan tragedi alam akan terus berlaku, sama ada Oktoberfest dianjurkan atau tidak, sama ada pesta LGBT atau konsert Ya Hanana, konsert Justin Bieber diadakan atau tidak.

Jangan nanti kita terus dihantui bencana ‘kepala bapa kau’ yang boleh memusnahkan bukan sahaja keamanan, kebendaan, malah maruah bangsa akibat ketaksuban terlampau!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password