Benarkah bukan Melayu, Muslim tak layak memimpin?


Allah SWT berfirman (bermaksud): Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah : 8)

Ini bermakna tidaklah menjadi kesalahan bagi orang bukan Muslim itu dilayan seadilnya selagi mereka tidak memerangi Islam.

Juga dalam huraian ayat tersebut memberi maksud, seseorang Muslim tidak pernah ditegah sama sekali untuk memberi layanan yang baik kepada mereka yang bukan Muslim.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, dalam syarak tiada suatu pun dalil melarang seseorang Muslim untuk mengambil teori ilmiah serta penyelasaian amali yang datangnya daripada orang bukan Muslim.

Lihat saja dalam peperangan Badar bagaimana tawanan perang yang mempunyai kebolehan membaca dan menulis diberikan ruang untuk mengajar anak-anak orang Muslim sekalipun mereka musyrik.

Dalam pengkisahan perang Khandak, Nabi Muhammad SAW sendiri mendengar pandangan untuk menggali parit yang merupakan antara strategi perang orang Parsi.

Jangan lupa melihat

Ini kerana hikmah merupakan sesuatu barang berharga yang hilang daripada umat Islam. Di mana sahaja ia dijumpai maka orang itulah yang berhak dan layak dengannya.

Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah dipermulaan tulisan ini boleh menjawab tentang persoalan pada tajuk perbincangan di atas.

Selain memberi layanan yang adil kepada bukan Muslim dalam pelbagai aspek, adil dimaksudkan itu juga boleh diterjemah dengan kesanggupan berkongsi kuasa antara Muslim dan bukan Muslim.

Keberadaan mereka di dalam dewan parlimen atau pun dewan undangan negeri – bagi konteks politik di Malaysia – adalah perlu untuk mereka menjadi wakil kepada suara rakyat di bawah.

Ini juga menjadi jalan untuk setiap rakyat terus merasakan mereka ialah sebahagian daripada sistem negara mengikut lunas undang-undang dalam perlembagaan.

Khuatir dengan kesenjangan kesatuan yang masih samar kewujudannya hari ini, pada bila-bila masa saja usaha ini mampu dieksploitasi oleh musuh perpaduan dan kemanusiaan.

Dalam kita menjustifikasi kewajaran orang bukan Melayu dan bukan Muslim diberi ruang menjadi pemimpin, jangan pula kita lupa melihat corak kepimpinan yang ditonjolkan oleh kelompok Melayu dan Muslim.

Apakah dengan mempertahankan pemimpin Melayu yang korup itu menjadi jaminan untuk nasib Melayu dan Muslim akan terus terbela?

Pada tahun 9 Januari 1975, akhbar New Straits Times melaporkan pendirian peguam negara ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusof berkaitan rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan.

Gerombolan yang ekstrem

Beliau menyatakan setinggi mana pun kejujuran pegawai-pegawai kerajaan, ia masih belum mampu memberi jaminan perlakuan rasuah tidak berlaku.

Abdul Kadir berpandangan selagi ada orang yang sanggup memberi sogokan, kejujuran pegawai kerajaan bila-bila masa saja boleh terlebur.

Sarjana yang menjadi rujukan dunia Islam, Al-Ghazali, menyatakan kerosakan itu merebak dari atas hingga ke bawah.

Begitulah kontradiknya pandangan dan amalan di antara pemikir hebat dunia dan pemimpin Melayu Muslim yang dari dulu beriman dengan pandangan seperti bekas peguam negara itu.

Maka perdebatan yang kian rancak hari ini ialah perbicaraan andai berlaku pertembungan antara calon pemimpin Muslim dan bukan Muslim, atau Melayu dan bukan Melayu.

Pihak yang sejak awal berpegang kepada naratif politik yang berkisar tentang Melayu dan Muslim dominan dalam pengertian diktator pasti alergi dengan perbincangan seperti di atas.

Ada pihak yang pada awalnya memperkenalkan terma tahaluf siyasi tapi akhirnya mereka sendiri mencabut akar ‘pohon’ yang disemai semata-mata mahu bertaawun atas prinsip kepentingan agama dan bangsa.

Inilah ragam fikir yang harus didepani untuk melihat karamah insaniah dimartabatkan.

Akan ada cabaran hebat daripada gerombolan yang ekstrem dalam hidup bermasyarakat. Itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Iktibar yang ditunjukkan oleh pelbagai tokoh – sama ada Muslim atau bukan, Melayu atau bukan – adalah cabaran untuk dipenuhi bersama. Anjakan pemikiran dan perlakuan tidak bisa statik jika mahu melihat negara maju dan sejahtera.

Jika tidak kita akan hidup di bawah penindasan ala zaman kolonial. Apa yang berbeza cuma watak dan galur penjajah tersebut.

Jangan kita hanya merdeka fizikal tetapi mental masih terkurung dan terpenjara.


MUHAMMAD SYAFIQ AZMI ialah setiausaha politik Pengerusi AMANAH Melaka.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password