Bekas mufti Kedah antara 3 tokoh sertai PAS

Bekas mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhammad Baderudin Ahmad antara tiga tokoh yang diumum menyertai PAS sempena himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Kedah hari ini.

Selain Sheikh Muhammad Baderudin, turut diisytihar menyertai PAS ialah bekas pegawai Majlis Agama Islam Kedah, Sheikh Mohd Uzaidz Baharom dan bekas Penolong Pengarah Jakim, Mahadir Mohd Noor.

Bagaimanapun, Harakahdaily melaporkan Sheikh Muhammad Baderudin dan Sheikh Mohd Uzaidz tidak dapat hadir pada himpunan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut itu kerana tugasan lain.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada Sheikh Muhamad Baderudin dan Sheikh Mohd Uzaidz menjadi ahli atau hanya  ‘menyertai’ PAS bagi menunjukkan sokongan mereka.

Ini berikutan awal September lalu, PAS turut mengumumkan beberapa tokoh ternama akan menyertai parti itu pada himpunan Fastaqim 2.0 yang diadakannya di Terengganu.

Namun pengumuman itu berakhir dengan hanya pengisytiharan sokongan beberapa tokoh berkenaan terhadap PAS.

Ketua penerangan PAS, Nasarudin Hasan kemudian berkata maksud  ‘bersama’ atau ‘menyertai’ perjuangan PAS tidak semestinya menjadi ahli.

Sementara itu, Mahadir berkata beliau tertarik menyertai PAS kerana pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang dilaksanakan PAS dan beberapa pendekatan lain.

“Ikhlas saya katakan, ahli-ahli dan pemimpin PAS ini ikhlas dan penat lelah mereka tidak mengharapkan bayaran atau ganjaran,” ujar beliau.

Beliau juga yakin PAS akan beroleh kemenangan memandangkan gelombang momentum rakyat berpihak kepada parti itu termasuk mendapat sokongan golongan muda.

“Saya juga menyokong penuh PAS bertanding sendirian kerana PAS mempunyai kekuatannya tersendiri dan mampu menarik sokongan rakyat,” tambahnya lagi.

Mahadir menerima sijil keahlian PAS dari Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada himpunan yang dilapor disertai sekitar 15,000 ahli PAS itu.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password