Bekas ahli Umno Semporna mahu kembali

Beberapa orang anggota Umno bahagian Semporna yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Parti Warisan Sabah, akan kembali ke pangkuan parti keramat Umno, dalam tempoh terdekat, kata Pemangku Ketua Umno bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Sakaran.

Beliau berkata kepulangan mereka ke pangkuan Umno itu membuktikan resolusi Umno untuk rakyat adalah terbaik berbanding pembangkang kerana Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno konsisten dalam menjaga kebajikan rakyat serta membawa pembangunan berterusan kepada daerah ini.

“Apabila tiba masanya kita (Umno) akan adakan satu majlis simbolik mereka kembali kepada parti,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang itu ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis khatam al-Quran anjuran Wanita USIA Semporna hari ini.

Nasir berkata terbukti bekas anggota Umno itu yang mengikuti bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terkeliru dan selepas melihat perkembangan politik terkini Warisan, baru mereka sedar bahawa parti pembangkang tidak setanding Umno yang memberi pelbagai bantuan dan rakyat menerima manfaatnya.

Dalam pada itu, Nasir berkata sehingga kini, tiada anggota Umno Semporna yang keluar parti dan sepanjang tempoh jelajah jentera Umno mendekati penduduk daerah ini rata-rata menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Umno serta BN Sabah.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password