Bayangkan Isyana sebagai tukang masak

 

Seandainya bukan seorang penyanyi, peminat Isyana Sarasvati harus bersedia melihat artis itu sebagai tukang masak.

Walaupun tidak memperincikan gambaran itu dengan benar-benar jelas, dengan nada berseloroh Isyana mengakui dia sering berimaginasi menjadi tukang masak kerana sifatnya yang memang mudah tertarik kepada makanan.

“Jika tidak bergelar sebagai penyanyi saya ingin menjadi seorang tukang masak.

“Dengan cara itu, saya boleh makan apa saja yang saya mahu,” katanya.

Gadis kelahiran Bandung, Indonesia itu bagaimanapun pada realitinya tidak berhasrat untuk menceburi dan mengembangkan minatnya itu hingga menjadi sebuah perniagaan.

Isyana, 24, ditemui pada sidang media, wawancara dan memperkenalkan album keduanya yang diberi judul Paradox di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ada peminat di Malaysia

Penyanyi Tetap Dalam Jiwa itu berkata album baru yang menempatkan 10 lagu itu terhasil melalui pengalaman emosi yang dilaluinya, selain pemerhatian ke atas kehidupan manusia pada masa kini.

Paradox terhasil berdasarkan pengalaman sendiri yang saya curahkan ke dalam muzik. Satu daripada lagu itu misalnya yang berjudul Lembaran Buku memberi motivasi baik kepada lelaki mahupun perempuan.

“Ia mengajak pendengar untuk berani menutup buku duka dan memulakan halaman baru selepas gagal bercinta. Hidup ini masih ada banyak pilihan lain,” katanya.

Album Paradox itu memuatkan single pertamanya, Terpesona, yang turut menampilkan penyanyi jemputan Gamaliel, juga mula mendapat perhatian peminat.

Isyana mula tampil dalam arus perdana dunai seni Indonesia melalui single Keep Being You pada 2014.

Namun single kedua yang diterbitkan setahun selepas itu berjudul Tetap Dalam Jiwa lebih membuahkan hasil malah mendapat perhatian umum termasuk peminat di Malaysia.

Dan hingga kini, Isyana bersyukur kerana Tetap Dalam Jiwa masih membayangi peminat muzik di negara ini.

“Sejujurnya, saya hilang kata-kata kerana tidak menyangka muzik yang dibawakan akan berjaya menambat hati peminat di luar negara.

“Saya memang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk muzik saya keluar dari Indonesia. Malahan saya tidak pula mengikut mana-mana aliran muzik yang biasa dinyanyikan penyanyi lain.

“Saya benar-benar berpuas hati kerana peminat dapat menerima diri saya seadanya.

“Ternyata muzik jujur itu dapat disampaikan ke negara lain. Ini menambah semangat saya untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password