Baru gesa BN S’wak tolak komitmen jadikan M’sia negara Islam

Ketua PKR Sarawak Baru Bian menggesa BN negeri menolak kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerajaan BN komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Asyraf dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today menyatakan pembangunan Islam yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk jelas kepada perkara itu.

“Ini adalah kenyataan jelas mengenai pendirian kerajaan persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam,” kata Baru yang juga ADUN Ba Ke’lalan.

Baru berkata BN Sarawak harus menolak kenyataan Aysraf kerana rakyat negeri itu akan berfikir bahawa kerajaan negeri terlibat dalam usaha kerajaan persekutuan menjadikan Malaysia negara Islam.

Baru berkata kenyataan timbalan menteri itu juga adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia seolah-olah tidak peduli mengenai pelanggaran ini dan lebih banyak lagi bukti mengenai isu-isu yang amat penting bagi Sarawak, BN Persekutuan tidak peduli terhadap hak rakyat negeri,” kata peguam hak asasi manusia itu.

Baru berkata, BN Sarawak harus mencontohi Sultan Johor apabila baru-baru ini memberikan reaksi terhadap isu pengasingan dobi di Muar.

“BN Sarawak mesti menolak kenyataan Asyraf Wajdi dan menuntut BN persekutuan menafikannya,” tambah Baru.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password