BAKAL JADI PENYANYI

MYARTIS.COM | MYARTIS | MY | ARTIS: BAKAL JADI PENYANYI

 

Seperti usahawan lain yang sudah bergelar penyanyi, pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan atau Che Ta juga tidak ketinggalan apabila bakal mencuba bidang tersebut pula.

Impian Che Ta untuk menceburi dunia seni suara bakal direalisasikan dengan kerjasama penyanyi yang juga komposer, Hazami.

Ibu kepada tiga cahaya itu baru-baru ini mengaku beliau benar-benar teruja bercampur gementar apabila memikirkan langkahnya menyertai bidang nyanyian.

“Dalam soal nyanyian ini, saya memang serius, apatah lagi Hazami juga beriya-iya mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.

Klik untuk gambar besar

“Sebelum ini, saya pernah didekati penggiat seni lain seperti Eddie Hamid dan Imran Ajmain yang menawarkan peluang serupa.

“Namun, mungkin ketika itu saya belum bersedia. Waktu itu pun, Imran mencari pelakon sebagai rakan duet dan bukannya penyanyi,” katanya.

Menurut Che Ta, beliau sendiri amat tertarik dengan karya ciptaan Hazami, seperti Takdir (dendangan Dayang Nurfaizah), yang dijadikan lagu tema drama ‘Syurga Yang Kedua’.

Ditanya mengenai genre kesukaannya, isteri Zain Saidin ini tidak mempunyai pilihan tertentu.

“Saya pun tak pernah terfikir nak jadi penyanyi selama ini. Jadi, mungkin lagu balada atau irama Malaysia sesuai dengan saya,” katanya yang mengaku bersedia untuk dikritik apabila mencuba nasib sebagai penyanyi.

Ketika ini, difahamkan Hazami sedang menyiapkan lagu baharu untuk Azharina, diikuti Aishah kemudiannya.

“Mungkin giliran saya akan tiba selepas Hazami menyiapkan lagu untuk Aishah,” kata pelakon berusia 44 tahun itu.

Sementara itu, Hazami yang dihubungi berharap impian Che Ta untuk menjadi penyanyi dapat ditunaikan olehnya.

Katanya, sudah lama pelakon jelita itu meminta beliau menghasilkan lagu untuk beberapa produk perniagaannya. Cuma, projek itu tergendala apabila beliau menyertai program Gegar Vaganza musim keempat.

“Pada pertemuan baru-baru ini, perkara itu dibincangkan semula dan nampaknya, Che Ta bersungguh-sungguh untuk menggunakan khidmat saya. Dari situ juga, saya cuba memancingnya untuk menyanyi pula.

“Sebenarnya, teman saya yang juga pekerja Che Ta pernah merakamkan video dia menyanyi lagu tradisional secara rahsia. Saya dapati, dia mempunyai alunan suara yang baik dan bukan jenis yang menjerit.

“Jadi, mungkin saya akan menghasilkan lagu berentak irama Malaysia dengan sentuhan moden untuknya. Mungkin juga kita boleh ajak suaminya, Zain, untuk menyanyi rap dalam lagu berkenaan.

“Saya harap, Che Ta dapat tunggu dulu hingga saya selesaikan kerja bersama Azharina dan Aishah,” ujarnya.

Siapa sangka Che Ta didekati ramai pencipta lagu terkenal tetapi meminati Hazami untuk menghasilkan lagu untuknya.

Apa-apapun, semoga hasrat Che Ta tercapai dan mesti peminatnya tak sabar mendengar kemerduan suara Che Ta dalam menyanyikan lagu Irama Malaysia.

.

Sumber : MyArtis

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password