‘Azmin bagus tapi kena tukar parti’

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dr Abu Hassan Omar memuji kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali di negeri itu dan menganggap timbalan presiden PKR itu mempunyai masa hadapan yang cerah dalam politik.

Bagaimanapun, Abu Hassan yang juga Yang di-Pertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor berkata, Azmin “dikawal oleh pihak tertentu”.

“Dia seorang ahli politik yang baik, dia muda dan punya masa depan yang sangat cerah tetapi dia “dikawal”.

“Setahu saya Azmin boleh jadi seorang pemimpin yang bagus cumanya seperti mana yang kita tahu siapa yang kawal kerajaan negeri bukan Azmin, bukan PKR.

“Tetapi orang lain, itu cukuplah saya cakap macam itu,” kata Abu Hassan yang dipercayai merujuk kepada rakan sekutu PKR, DAP.

Abu Hassan berkata demikian dalam temubual Malaysiakini di pejabat Gerakan Mubarak, di Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata prestasi Azmin selaku menteri besar Selangor adalah memuaskan namun bekas anak didik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berada dalam ‘parti yang salah’.

Oleh demikian, Abu Hassan menasihatkan Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak untuk beralih arah atau secara tepatnya menukar partinya kini.

“Azmin ada kebaikannya tersendiri. Saya fikir dia boleh jadi pemimpin yang bagus tapi mungkin dia berada dia kedudukan yang salah. Ya, beliau salah pilih parti,” tegas Abu Hassan.

Ditanya sejauh mana Azmin akan bertindak meninggalkan PKR, ini jawab Abu Hassan:

“Susah nak cakap tapi ini pendapat saya yang jelas kita memerlukan seorang pemimpin seperti dia sebagai menteri besar. Dia sangat disukai, dia kuat dan saya kenal dia dari kecil”.

Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada September 2014.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password