Artis ‘hasut’ anak muda jadi pengundi

Menyedari ramai golongan muda belum mendaftar sebagai pengundi, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencuba inisiatif baru iaitu menggunakan tarikan selebriti.

Watan – sebuah NGO bebas – kini berkempen untuk menggalakkan orang ramai terutama golongan muda menggunakan hak masing-masing sebagai pengundi.

Melalui inisiatif itu mereka mendapatkan sokongan Remy Ishak, Sasha Saidin, Fatiya Latiff, Altimet dan Daphne Iking untuk membuka hati golongan sasaran mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Eksekutif Watan, Masjaliza Hamzah berkata pendekatan menggunakan selebriti terkenal diharap mampu menjadi daya penarik lebih kuat supaya perubahan positif berlaku dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Selebriti membawa pengaruh sosial yang besar. Watan tidak hanya menggunakan satu medium saja dalam soal ini.

“Golongan selebriti biasanya boleh menarik lebih banyak perhatian berbanding kaedah lain jika ia didapati kurang memberi impak,” katanya kepada Malaysiakini.

Watan berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud tanah air atau negara dalam bahasa Melayu.

Ambil bahagian

Pertubuhan berkenaan diasaskan dengan sifat tidak menyebelahi mana-mana parti politik dan menumpukan usaha untuk meyakinkan belia Malaysia supaya menjadi pengundi.

Tanpa menetapkan siapa yang wajib diundi Watan berusaha memahamkan belia mengenai maksud amalan demokrasi dan pilihan raya serta menjadi sebahagian daripada golongan muda yang menjadi kelompok pengundi terbesar di negara ini.

Berdasarkan data SPR jumlah rakyat Malaysia yang layak mengundi tapi belum mendaftar setakat tiga bulan pertama tahun ini seramai 3.7 juta orang dan 28 peratus daripada mereka berusia antara 21 hingga 30 tahun.

Untuk suku kedua 2017 pula menunjukkan 13.2 peratus pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun masih belum mendaftar.

Justeru atas kesedaran itu Watan menggerakkan kempen #daftarje sejak 13 April lalu dengan memilih tema “Bertindak Bersuara”.

Melalui klip video dihasilkan selebriti terbabit menjelaskan mengapa seseorang itu perlu mengundi dan bagaimana mudahya proses mendaftarkan nama untuk menjadi pemilih di negara ini.

Kata Masjaliza menjadi pengundi bukanlah sesuatu yang “poyo” sebaliknya penting demi masa depan negara.

Menurutnya mengambil bahagian dalam proses demokrasi dengan memilih pemimpin melalui pilihan raya dapat mengubah sesuatu dasar negara supaya memenuhi keperluan mereka.

“Sama ada rumah mampu milik, isu tabung Perbadanan Tabung Pendikan Tinggi Nasional (PTPTN) – semua polisi ini membawa kesan kepada orang muda.

“Oleh itu Watan benar-benar berharap klip video #daftarje akan meraih banyak tontonan selain lebih kerap dikongsikan agar ia boleh mendorong lebih ramai belia menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password