‘Apakah DAP akan perjuang perkahwinan sejenis?’

 

Sejak sebelum merdeka, DAP berusaha menerapkan budaya liberal hingga berjaya menjadikan Selangor negeri pertama menganjurkan pesta arak secara terbuka.

Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata, keadaan itu membuka ruang kepada pengaruh budaya barat yang kini dibawa secara meluas ke negeri-negeri lain.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mengatakan Umno kini bekerjasama dengan PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah negara ektremis susulan pembatalan festival berkaitan arak di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya tidak faham apa maksud beliau (mengenai) ekstremis.

“Selama ini di Malaysia, sekiranya mahu ke disko atau kelab-kelab malam, terpulang kepada individu. Yang kerajaan larang apabila ia mahu dibuat secara terbuka seperti yang terjadi di Selangor,” kata Razlan.

Razlan berkata disebabkan “keterbukaan tanpa sempadan” itu, DAP seringkali ditolak pengundi terutama mereka yang mempunyai pegangan agama.

Selain itu beliau juga mempersoalkan sekiranya parti itu akan mengiktiraf perkahwinan sejenis dengan memperjuangkan hak kumpulan Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Adakah DAP akan memperjuangkan perkahwinan sejenis? Adakah DAP akan terus memperjuangkan LGBT seperti sebelum-sebelum ini?

“Inilah yang mereka mahu bawa ke dalam pentadbiran negara Malaysia sekiranya mereka mendapat tampuk kepimpinan kelak,” kata Razlan.

Katanya sebagai anak Malaysia beliau mahu rakyat di negara ini kekal menjaga adab dan budaya serta berpegang teguh dengan kepercayaan agama masing-masing.

Terdahulu, Chong menyelar pihak berkuasa kerana mengarahkan pengharaman Octoberfest di Klang susulan pembatalan acara Better Beer Festival di Kuala Lumpur.

Anggota parlimen Kuching dan ADUN Kota Sentosa itu berkata, Umno kini bertindak seperti “ektremis PAS” dan meletakkan komponen parti bukan Melayu dalam BN dalam kedudukan sama.

Menurut Chong, festival dan acara sambutan yang diadakan setiap tahun itu kini dilihat sebagai pantang larang oleh pakatan Umno BN-PAS.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival yang dijadual selama dua hari mulai 6 Oktober atas faktor keselamatan.

Polis juga tidak meluluskan permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang pada 12 dan 13 Oktober ini kerana turut menyediakan minuman keras.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password