Apa yang tersirat di balik lawatan Najib?


ULASAN | Rancangan Datuk Seri Najib Razak untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atasnya disebabkan skandal 1MDB dengan mengadakan lawatannya ke AS baru-baru ini kelihatan gagal.

Meskipun beliau mungkin sedar AS tidak akan menarik balik atau mengkaji semula siasatan jenayah ke atas isu salah guna dana wang 1MDB, andaian beliau bahawa pandangan umum rakyat akan lebih positif kepadanya, amat meleset.

Selepas rakaman video Najib menawarkan dana awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah dan MAS untuk membantu ekonomi AS menjadi tular, komen-komen di media sosial jelas menunjukkan kemarahan rakyat kepadanya.

Malah menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kemarahan itu tidak akan reda apabila lebih banyak maklumat terperinci mengenai lawatan tersebut mula sampai ke pengetahuan rakyat.

Antaranya ialah mengenai pelaburan KWSP di AS. Najib memberi komitmen kepada Presiden Donald Trump untuk membawa masuk wang rakyat Malaysia melalui pelaburan KWSP sebanyak AS$4 bilion (RM16.8 bilion) untuk projek-projek prasarana di sana.

Terhad kepada 30 peratus

Selain tidak masuk akal untuk Malaysia membantu projek di AS kerana prasarana negara masih belum berada di tahap negara maju, terdapat beberapa masalah lagi pada janji Najib itu.

Pertama, KWSP sebenarnya memohon supaya Najib mendapatkan persetujuan Trump agar diberi status “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (Qualified Foreign Pension Fund). Ini akan membolehkan KWSP diberi pelepasan cukai bagi pelaburan di AS.

Perkara ini tidak dinyatakan oleh Najib, sebaliknya beliau telah mengumumkan keputusan bahawa KWSP akan membuat pelaburan tambahan sehingga RM16 bilion di AS.

Kedua, pengumuman itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kewangan yang mengehadkan pelaburan luar negara KWSP kepada 30 peratus saja daripada jumlah pelaburan keseluruhan.

Menurut Rafizi, setakat 22 Februari 2017 pelaburan luar negara KWSP hampir mencecah had maksimum 30 peratus tersebut. Katanya, dakwaan itu dilaporkan akhbar The Nation (akhbar perdana Thailand) yang memetik temuramah dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Dengan penambahan pelaburan RM16 bilion itu, sudah tentu tahap maksimum tersebut akan dilepasi.

Dalam konteks ini, apa yang dipersoalkan bukan pulangan balik atau dividen yang akan kembali kepada pencarum KWSP.

Ada risiko lebih besar

Persoalannya ialah komitmen yang sepatutnya dibuat oleh Najib dan parti pemerintah untuk menjamin pulangan yang lebih baik atas pelaburan itu (jika mendapat pelepasan cukai AS) dan menghormati peraturan serta tata kelola kewangan (had pelaburan luar negara 30 peratus).

Satu lagi perkara ialah janji Najib mengenai pembelian pesawat-pesawat udara baru Boeing oleh MAS yang dianggarkan berjumlah AS$10 bilion (atau RM42 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Rafizi, sebenarnya MAS akan berbelanja sehingga sekitar RM53 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membeli 50 pesawat kelas Boeing 737-Max 8/10 dan 25 pesawat besar “widebody” iaitu kelas Boeing 787 atau Airbus A330neo. Beliau memetik beberapa laporan industri penerbangan yang berkait dengan MAS.

“Sedang rakyat terkejut dengan jumlah wang yang begitu besar, rupa-rupanya ada risiko yang lebih besar,” ujar Rafizi.

Menurutnya, risiko yang lebih besar itu ialah kemungkinan ada campur tangan daripada pihak Najib dalam keputusan-keputusan kewangan penting AS yang akan berlaku dalam masa setahun dua ini.

‘Rompakan’ tanpa disedari

Ia lebih embimbangkan apabila Lembaga Pengarah MAS menerima pelantikan orang kanan Najib iaitu Datuk Habibul Rahman Kadir Shah sebagai ahli lembaga pengarah MAS pada 18 Mei 2017.

Habibur Rahman memang diketahui umum sebagai orang kanan Najib hingga ada yang menggelar beliau “jeneral perang Najib”.

Meskipun penstrukturan semula MAS dikatakan berjaya mengurangkan kerugian dan MAS (walaupun melibatkan pemecatan 6,000 orang kakitangan) dan dijangka mula mencatatkan keuntungan dalam masa setahun, dengan perbelanjaan sekitar RM53 bilion oleh mana-mana syarikat milik kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang (kecuali Petronas) akan mengundang kebimbangan.

“Adakah keputusan untuk membeli lapan Boeing 787 Dreamliner itu keputusan Lembaga Pengarah MAS yang telah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan menepati strategi perniagaan MAS, atau itu keputusan politik Najib?” soal Rafizi.

Beliau juga khuatir kalau harga yang dirundingkan akan lebih mahal dan tidak telus jika ada campur tangan politik.

Bayangkan, jika komisen lima peratus dikenakan atas pembelian RM53 bilion itu, ia bersamaan dengan RM2.65 bilion!

Di samping itu dakwa Rafizi, oleh kerana MAS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui Khazanah, sebarang keputusan kewangan tidak perlu dilaporkan kepada mana-mana pihak.

‘Rompakan’ sebegini boleh berlaku tanpa disedari.

Apakah jaminan yang boleh diberikan bahawa skandal 1MDB yang melibatkan wang lesap berpuluh ribu juta ringgit tidak akan berulang dengan pelaburan sebesar MAS?

Mungkin dahulu perkara-perkara begini boleh lepas daripada pandangan umum, tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang, bebanan kos sara hidup yang menekan rakyat dan budaya rasuah serta salah guna kuasa yang meningkat, saya percaya rakyat tidak boleh lagi menerima apa yang didedahkan sebagai putar belit pembangkang.

Budaya kleptokrat atau perompak wang rakyat telah menjadi-jadi. Jika tidak diambil tahu, tidak diteliti dan tidak dicegah, sampai bila-bila pun mungkin rakyat menjadi hamba di tanah air sendiri.

Ia seperti kata peribahasa anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kebuluran. Tambah malang jika ada yang menangguk di air keruh. Kaut keuntungan berlebihan untuk kepentingan diri dan kroni namun hak dan tuntutan rakyat tidak diutamakan malah terabai.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah Ketua Penerangan PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password