Amar tetap duta produk cuci alat sulit syarikat Boy Iman

Di sebalik kontroversi seputar dakwaan penipuan Datuk Boy Iman yang membawa kepada penahanannya, pelakon Amar Asyraf membuat keputusan untuk tetap menjadi duta sebuah produk keluaran syarikat milik usahawan itu.

Katanya, dia tidak ingin bertindak tergesa-gesa dan merasakan produk itu tiada sebarang perkaitan dengan kes yang sedang hangat diperkatakan itu.

Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 30, merupakan duta kepada produk pencuci alat sulit lelaki yang dikeluarkan DBI Health & Beauty bermula Ogos lalu.

“Saya masih duta syarikat berkenaan kerana kontrak hanya akan tamat Jun depan. Saya tidak mahu menarik diri kerana ingin menghormati kontrak yang dimeterai sebelum ini.

“Bagi saya, syarikat berasaskan produk kesihatan dan kecantikan itu tiada kena-mengena dengan dakwaan penipuan yang menjadi perhatian umum ketika ini,” katanya ketika ditemui pada sidang pelancaran teater Bahara Emas anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur semalam.

Selain Amar, barisan pelakon yang menjayakan naskhah itu adalah Farahdhiya, Datuk Jalaluddin Hassan, Izzue Islam dan Esma Daniel dan dijangka dipentaskan di DBP selama empat hari berturut-turut, bermula 19 Oktober depan.

Terdahulu, Amar mengaku tidak malu menjalankan aktiviti promosi produk itu, yang mungkin menimbulkan rasa kurang selesa sesetengah pihak.

Malah dia yakin DBI Health & Beauty mampu mencatatkan jualan memberangsangkan, di saat reputasi syarikat lain yang diasaskan Boy Iman terjejas ekoran dakwaan penipuan yang dianggarkan kira-kira RM6.2 juta itu.

“Penjualan hanya terjejas pada hari pertama Boy Iman ditangkap pihak berkuasa, tetapi kemudian saya dapati pelanggan masih terus membeli.

“Mungkin mereka percaya dengan kualiti dan kelebihan ditawarkan produk pencuci alat sulit itu,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password