Akhirnya Hafiz Hamidun, Joy Revfa bercerai talak 1

Selepas beberapa bulan ‘berperang mulut’ di media, penyanyi Hafiz Hamidun dan usahawan kosmetik Siri Arifah Mohd Amin Atau Joy Revfa akhirnya sah bercerai hari ini.

Hafiz, 33, mengucapkan lafaz cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada jam 4.10 petang tadi, menurut Harian Metro.

Permohonan cerai difailkan Hafiz mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 12 Oktober lalu.

Mahkamah memutuskan tiada tuntutan daripada Hafiz dan Joy, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang perkahwinan.

Mahkamah juga memutuskan Joy tidak perlu menjalani tempoh edah kerana penceraian adalah talak satu ‘Bain Sughra’ apabila pasangan belum melakukan persetubuhan.

Hafiz berkata permohonan cerai dibuat atas sebab sudah tiada persefahaman, selain mendakwa Joy mengaibkannya di media sosial.

Dia turut mendakwa wanita itu melawan dan mengingkari segala suruhannya selaku suami, dan menjatuhkan imej dan reputasinya.

Kisah rumah tangga Hafiz dan Joy mula mengundang perhatian umum apabila mereka dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung dan mula saling menyerang di laman sosial masing-masing.

Sepanjang tempoh itu, kedua-duanya tidak lagi dilihat hadir bersama dalam sebarang acara yang melibatkan mereka.

Hafiz dan Joy mengikat tali perkahwinan 1 Mei lalu, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password