Air paip bermacam-macam warna


Saya mengalu-alukan inisiatif kerajaan persekutuan dalam menggubal undang-undang dalam mempertingkatkan usaha memelihara kawasan tadahan dan sumber air.

Pada masa yang sama saya juga menyeru kerajaan persekutuan agar tidak melepaskan batuk di tangga dan menunjukkan komitmen dalam mencari penyelesaian kepada masalah sumber air yang sering kita hadapi dengan undang-undang baru ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri sewaktu merasmikan Majlis Penutup Water Leaders Forum 2017 di Johor Baru mengumumkan Rang Undang-undang (RUU) Sumber Air Negara akan dibentangkan pada sidang parlimen hujung bulan ini.

Sebenarnya pengumuman yang serupa pernah dibuat oleh beliau di Dewan Negara pada Jun 2016.

Namun begitu, RUU tersebut itu masih belum dibentangkan di parlimen walaupun lebih setahun telah berlalu.

Malah, isi kandungan draf RUU tersebut tidak diberitahu kepada orang awam dan pihak berkepentingan melalui seranta awam mahupun melalui sesi rundingan dalaman.

Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Umno-BN diingatkan supaya jangan hanya pandai menanam tebu di bibir tetapi perlu bersungguh-sungguh melaksanakan dasar-dasar yang memanfaatkan rakyat.

Saya ingin mengingatkan kerajaan, tanpa penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh, undang-undang sehebat mana pun tetap akan gagal melindungi kepentingan rakyat.

Contohnya, Enakmen Air 1921 Johor dipinda Dewan Negeri Johor pada Jun 2014 untuk memberi kuasa yang lebih menyeluruh kepada pihak berkuasa negeri dalam memelihara dan memulihara sumber air di Johor.

Tiga tahun telah berlalu dan kerja penguatkuasaan berdasarkan enakmen yang dipinda masih dilihat lemah dan tidak berkesan.

Masalah pencerobohan haram dan kemusnahan kawasan tadahan air menghantui kita kian lama sehingga menyebabkan banyak empangan di Malaysia kehilangan fungsi untuk menyimpan air.

Akibatnya apabila musim kemarau berpanjangan paras air menurun dengan mendadak dan rakyat terpaksa menghadapi catuan air.

Contoh yang jelas dapat dilihat di kawasan tadahan Empangan Sembrong dan Empangan Machap.

Kedua-duanya diketahui umum mengalami masalah pencerobohan yang serius.

Hampir setiap tahun penduduk di sekitar daerah Kluang dilanda masalah gangguan bekalan air sehingga berbulan-bulan panjangnya kerana kedua-dua empangan tersebut tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Akhir sekali, selain kuantiti sumber air, kualiti air terawat yang dibekalkan kepada para pengguna juga perlu dikawal dengan lebih sempurna.

Tiada gunanya rakyat membayar bil air tetapi terpaksa berhadapan dengan air paip yang bermacam-macam warna setiap kali membuka pili air.


TAN HONG PIN jurucakap air DAP Johor merangkap anggota Dewan Negeri Johor kawasan Mengkibol.



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password