Ahok hampir khatam al-Quran dalam penjara

Masuk hari ke-168 dia berada dalam tahanan. Sementara menghabiskan sisa hari yang perlu dilaluinya Basuki Tjahaja Purnama banyak membaca.

Pelbagai buku ditelaahnya, termasuk kitab suci al-Quran.

“Di sini gua hampir khatam baca al-Quran loh,” kata bekas gabenor Jakarta yang dikenali dengan sikapnya yang lantang dan berterus terang.

Basuki – atau lebih dikenali sebagai Ahok – sedang menjalani hukuman penjara dua tahun selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tuduhan menghina Islam.

Dia kekal mengaku tidak bersalah dalam kejadian ketika berkempen untuk mendapatkan mandat sekali lagi menjadi gabenor kota raya terbesar Indonesia itu.

Ahli politik berasal dari Belitung itu ialah tokoh bukan Islam atau Jawa pertama dilantik ke jawatan gabenor Jakarta dalam sejarah Indonesia.

Sebelum itu dia menjadi naib gabenor yang berkhidmat di bawah Joko Widodo.

Seperti dilapor Tempo, Ahok berkata, ketika di sekolah rendah dan menengah dia mengikut pembelajaran di sekolah Islam.

“Jadi gua ingat-ingat sikitlah,” katanya.

Ahok bercerita mengenai aktiviti hariannya kepada 10 tokoh yang menziarahinya di Depok pada 24 Okt lalu.

Pertemuan itu terkuak selepas seorang penulis yang juga bekas wartawan Ignatius Haryanto, memuat naik catatan berjudul ‘Sebuah Selasa Siang Bersama BTP’.

Ignatius tidak mendedahkan identiti rombongan yang menyertai lawatan itu selain menyatakan latar belakang mereka sebagai wartawan, doktor, pensyarah, sejarawan, ustaz serta penulis novel.

Kata Ignatius pada pertemuan itu Ahok lebih banyak bercakap dan bercerita berbanding orang yang melawatnya.

Ahok, 51, memberitahu al-Quran yang ditelaahnya itu diperoleh daripada seorang wanita yang tidak diceritakan dengan lebih terperinci.

“Antara yang saya baca, surah al-Maidah. Bagus benar kandungannya,” kata Ahok yang tidak menunjukkan sebarang petanda dia hidup tertekan di pusat tahanan itu.

Belajar budaya Jawa

Menurut tokoh itu lagi dia seperti mahu segera menghabiskan sesuatu bacaan kerana berasa waktu tidak akan mencukupi untuk dia melakukannya.

Jika sesekali berasa bosan, Ahok akan berpindah ke buku lain pula. Ada antara buku dibacanya setebal lebih 400 muka surat.

Setakat Selasa lalu Ahok sudah menghabiskan 18 buku, dan daripada semua itu naskhah tulisan Guntur Soekarno Putra berjudul Bung Karno: Bapakku, Kawanku, Guruku paling memberi kesan kepadanya.

“Buku itu lucu dan Bung Karno jadi sangat kelihatan humanisnya.

“Walaupun dia presiden, buat Guntur, Bung Karno tetap seorang ayah dan teman,” kata Ahok.

Selain membaca apakah lagi aktiviti Ahok?

“Setiap hari gua sit up hingga ratusan kali,” kata Ahok kepada para tamunya dan secara bergurau menggambarkan dirinya seperti watak adiwira Batman.

Di penjara itu juga Ahok banyak belajar mengenai budaya Jawa – bangsa yang menjadi majoriti sekurang-kurangnya di Jakarta.

Antara aspek yang ditekuninya ialah sikap sabar, pasrah dan menjaga tutur kata.

Ia mungkin akan bermanfaat untuk tokoh terbabit selepas dibebaskan nanti.

Bagi sesetengah pemerhati Ahok memiliki ciri yang diperlukan untuk menjadi pemimpin di Indonesia, kecuali sikap dan kata-katanya yang terlalu berterus terang.

Ia sangat berbeza dengan kebiasaan orang Jawa – dan masyarakat Melayu – kerana mereka lebih gembar berkias atau berlapik untuk menyampaikan maksud di hati.

Kegagalan memahami keperluan itu juga disebut-sebut membawa Ahok ke penjara, selain dakwaan dibuat musuhnya yang menggunakan sentimen bangsa dan agama.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password