Ahli perniagaan hidapi kanser darah dapat tangguh hukum penjara

Seorang ahli perniagaan yang menghidap kanser darah hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Ahmadi Asnawi memberikan kebenaran itu kepada Datuk Zainulabidin Mat Akhir, yang hadir di mahkamah hari ini dengan berkerusi roda.

Peguam mewakilinya, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, berkata penangguhan itu perlu kerana anak guamnya yang berumur 66 tahun sedang menjalani rawatan kemoterapi bagi penyakit kanser darah tahap empat itu.

Katanya membenarkan Zainulabidin dihantar ke penjara sementara menunggu rayuannya diputuskan adalah bercanggah dengan andaian tidak bersalah.

Muhammad Shafee berkata alasan mereka merayu adalah kerana hakim Mahkamah Tinggi telah membuat penghakiman lebih awal apabila terus menyampaikan keputusannya selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan.

Hakim Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Zainulabidin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjaranya.

Sepuluh pertuduhan

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar membantah penangguhan itu dengan berkata terserah kepada budi bicara Mahkamah Tinggi untuk menolak penangguhan itu dan mahkamah rayuan biasanya tidak campur tangan dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata individu yang disabitkan tidak lagi tertakluk pada andaian tidak bersalah.

“Bagi isu kesihatannya, Jabatan Penjara bersedia memberi kerjasama dengan membenarkan Zainulabidin untuk pergi menjalani rawatannya,” katanya.

Zainulabidun, bapa pelakon Ummi Nazeera, disabitkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen termasuk borang “Pindahan Saham” untuk memindahkan 1,680,000 unit saham Mutiara Efektif (M) Sdn Bhd milik isterinya Datuk Seri Maziah Musa, 51, kepada anaknya Ahmad Fikhri, pada 26 Dis, 2006.

Zainulabidin didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat pengurusan Indah Secretarial di Sentul Raya Boulevard, Sentul pada Disember 2006.

Beliau juga menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu bertarikh 22 Disember, 2008, untuk pemindahan pemilikan 299,999 saham syarikat B.TIS Manufacturer Sdn Bhd daripada Maziah kepada dirinya antara Disember 2008 dan Mei 2009.

Zainulabidin juga dituduh menggunakan dokumen palsu resolusi lembaga pengarah Mutiara Efektif bertarikh 26 Disember, 2012, bagi pelantikan Ahmad Fikhri sebagai pengarah dan peletakan jawatan Maziah sebagai pengarah.

Pada 25 November, 2015, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun bagi 10 pertuduhan itu dan mengarahkan hukuman itu berjalan serentak.

Beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 16 Oktober tahun ini.

 

-Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password