Acara dua hari memperingati 30 tahun Ops Lalang

Ini termasuklah pameran poster yang merekod peristiwa menjelang penangkapan besar-besaran, semasa operasi penangkapan dan keadaan selepas operasi itu.

Turut ditampilkan rekod perhubungan di antara tahanan yang ditangkap dalam operasi itu.

Acara itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

Acara hari ini termasuklah pelancaran buku ‘Autocrats vs The People: Authoritarian Populism in Malaysia’ oleh Anne Munro, manakala bekas tahanan dan ahli keluarga mereka berkongsi pengalaman semasa Operasi Lalang.

Pada jam 8 malam besok, beberapa orang bekas tahanan turut dijangka akan bercakap dalam sebuah acara yang sama.

Sementara itu pada pelancaran acara yang berlangsung selama dua hari ini, bekas tahanan Kua Kia Soong menuntut permohonan maaf daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Operasi Lalang.

Kua (gambar, paling kiri) juga berkata bekas pengerusi DAP mendiang Karpal Singh akan menuntut hal yang sama atas dasar prinsip.

Menurut Kua bekas-bekas tahanan tidak akan ambil peduli untuk meminta Mahathir memohon maaf jika beliau masih anggota aktif Umno, tetapi mereka menjangkakan hal yang berbeza kerana sekarang beliau mempengerusikan gabungan pembangkang utama.

“Dalam pilihan raya ke 14, kami akan mengundi gabungan pembangkang menentang BN. Jika Mahathir akan mengetuai Pakatan Harapan, tunjukkan kami yang kamu telah dilahirkan semula sebagai seorang demokrat. Jika tidak mengapa saya perlu ambil kisah untuk mengundi Pakatan Harapan?” Kata beliau pada pelancaran acara tersebut.

Operasi Lalang bermula pada Oktober 1987 ketika Mahathir menjadi perdana menteri. Lebih 100 orang aktivis, pemimpin politik dan ahli akademik ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketakutan dan kemarahan

Apabila bekas tahanan dan ahli keluarga mereka bercakap tentang pengalaman itu, beberapa orang di antara mereka menyebut tentang ketakutan dan kemarahan yang dirasai mereka, malah sehingga ke hari ini.

Salah seorang daripada mereka, anggota parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him berkata isteri beliau berpesan untuk beliau tidak bercakap dalam forum hari ini.

“Kata isteri saya, Mahathir tidak boleh menangkap saya hari ini tetapi beliau boleh menyaman saya sehingga jadi bankrap.

“Bayangkan. Selepas 30 tahun, ketakutan isteri saya masih di situ, berfikir bahawa hari ini jika saya keluar dari rumah, saya berkemungkinan tidak akan balik,” kata beliau.

Ahli ekonomi Edmund Terence Gomez yang menulis prakata buku ini berkata retorik populis otoritarian masih dapat dilihat hari ini, 30 tahun selepas Operasi Lalang.

Retorik itu menurut beliau termasuklah daripada kedua-dua HARAPAN dan BN, malah kelihatan dalam belanjawan persekutuan 2018 yang dibentangkan semalam.

[Baca berita penuh]



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password