“Abang Tahu Mak Tiada Duit, Saya Niat Nak Beli Baju Raya Untuk Mak Supaya Mak Ada Baju Baru Sambut Raya.” Sebak! Remaja Lelaki Ini Mula Pikul Tanggungjawab Pada Keluarga Sejak Kehilangan Bapa..

“Abang Tahu Mak Tiada Duit, Saya Niat Nak Beli Baju Raya Untuk Mak Supaya Mak Ada Baju Baru Sambut Raya.” Sebak! Remaja Lelaki Ini Mula Pikul Tanggungjawab Pada Keluarga Sejak Kehilangan Bapa..

 

MERSING: Pada usia 14 tahun, Muhammad Sukri Jamaludin sudah pun mengenal makna tanggungjawab untuk berbakti kepada ibunya.

Setiap hari, Sukri menyimpan wang saku hariannya untuk membantu ibunya, Yati Mohd Ali, 41, yang tidak bekerja untuk membeli keperluan dapur.

Sukri yang kehilangan ayah sejak empat tahun lalu akibat kanser tulang mula menjadi penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Mersing sejak dua tahun lalu.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik ini, wang saku yang diterima daripada warden asrama untuk perbelanjaan di sekolah tidak dibelanjakan semuanya.

“Warden bagi RM5 sehari untuk belanja sekolah, tapi saya tak habiskan semua. Kadang-kadang saya simpan semua.

“Kadang-kadang saya simpan RM3 sahaja sebab beli makanan di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam sebuah program Jalinan Mesra Warga Muafakat Mersing Bersama Anak Yatim dan Pemadam Daerah Mersing, baru-baru ini.

Mahu jadi polis ketika ditanya penulis alasan tindakannya itu, Sukri hanya mampu mengalirkan air mata sebelum menggelengkan kepala dan mengesat air mata yang gugur.

Sukri yang bercita-cita menjadi anggota polis apabila dewasa kelak pernah membelikan baju raya buat ibunya, dua tahun lalu dengan duit simpanannya sendiri.

“Memang saya niat nak beli baju raya untuk mak supaya mak ada baju baru sambut raya,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua SMK Mersing ini juga berhasrat menyambung pengajian di UTM Skudai supaya lebih dekat dengan ibunya.

Pada majlis jalinan mesra itu, Sukri menerima kejutan istimewa daripada penganjur apabila dihadiahkan kotak misteri yang mengandungi gambar-gambar kenangan bersama penghuni dan Allahyarham bapanya, Jamaludin Alias.

Yati yang menemani Sukri dalam program itu tidak henti menangis melihat penghargaan yang diberikan untuk anaknya.

“Memang ini pertama kali saya terima hadiah kejutan macam ini. Saya sangat gembira. Terima kasih,” kata Sukri.

Lidah kelu pertama kali dapat duit

Sukri (kanan) bersama ibu dan adik-beradiknya.

Sementara itu ibunya, Yati berkata, tiada kata dapat diungkapkan dan hanya mampu mengalirkan air mata setiap kali menerima wang belanja daripada anak lelakinya yang baru berusia 14 tahun.

Menurut Yati, ketika pertama kali menerima wang belanja daripada Muhammad Sukri Jamaludin atau lebih mesra disapa abang, lidahnya kelu.

“Setiap kali balik rumah daripada asrama dia bagi saya duit belanja RM50 sampai RM200. Pertama kali abang bagi saya RM50, memang terkejut.

“Bila dia cerita baru saya tahu dia simpan duit poket. Saya tak nak ambil tapi dia cakap, ‘tak apa mak, abang tahu mak tak ada duit’.

“Sayu betul hati saya, memang tak sangka,” katanya ketika ditemui pada program di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Mersing, baru-baru ini.

Mudah tersentuh, menangis

Menurut Yati, perilaku anak lelakinya itu berubah selepas kematian suaminya dan lebih ketara sejak menghuni rumah anak yatim, tiga tahun lalu.

“Sebelum masuk asrama abang macam biasa saja, macam budak seumur dia yang lain.

“Tapi lepas arwah meninggal, saya terpaksa masukkan abang ke asrama sebab risaukan pendidikan dia dan sejak itu saya lihat dia menjadi lebih bertanggungjawab serta tunjuk kasih sayang pada saya lebih,” katanya.

Malah katanya, sejak pemergian bapanya, Sukri menjadi lebih mudah tersentuh dan menangis.

“Saya memang nak kerja tapi sejak arwah ibu saya meninggal, saya terpaksa berhenti kerja kerana tiada orang yang boleh jaga anak bongsu.

“Syukur anak-anak tak pernah merungut makan sekali sehari, makan apa ada, jarang makan ikan atau ayam.

“Pernah kami putus duit, tak ada duit nak beli barang dapur. Kami makan nasi dengan goreng bawang saja,” katanya.

Dua anaknya lagi masih bersekolah rendah dan seorang lagi baru berusia empat tahun.Sumber: Astro Awani

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password