80,000 usahawan, artis tertipu – Utusan Online – 6/10/2017

Snapshot(3)

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kira-kira 80,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk beberapa pelakon popular berputih mata apabila skim pelaburan berkonsepkan francais yang menjanjikan keuntu­ngan beribu-ribu ringgit bertukar menjadi mimpi ngeri kepada mereka.

Manakan tidak, keuntungan yang dijanjikan, namun kerugian keseluruhan mencecah RM1 bilion pula terpaksa ditanggung usahawan-usahawan kecil itu.

Wakil mangsa skim penipuan itu, Mohamad Isa Mohd. Yassin memberitahu, syarikat Kongsi Makan Berhad (KMB) yang memperkenalkan skim tersebut pada 2015 bijak memanipulasi orang ramai dan usahawan supaya mempercayai pelan perniagaan mereka.

Menurutnya, modus operandi syarikat itu ialah dengan menjanjikan keuntungan kepada pelabur menerusi jualan produk berbekalkan modal minimum RM1,500 untuk satu set produk PKS.

“Apabila semakin berkembang, mereka perkenalkan pula konsep stokis dan pembukaan pusat perniagaan yang mengambil kos sehingga RM300,000. Sejak beroperasi dari 2015 hingga 2016, sebanyak 60 usahawan telah dilantik mengendalikan pusat perniagaan KMB termasuklah saya.

“Apa yang menyebabkan orang mudah percaya ialah apabila syarikat tersebut menggunakan nama agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Apabila melihat kononnya ada penglibatan agensi kerajaan, orang mudah percaya dan akhirnya tertipu.

“Bagaimanapun, setelah beberapa bulan beroperasi, usahawan terlibat mula mengalami masalah apabila tidak mendapat bekalan produk meskipun telah membayar modal dan tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan. Saya difahamkan, syarikat berhutang RM12 juta kepada pembekal. Apa yang pelik, ke mana duit modal dibayar usahawan?” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Ketika ditanya bila dia mula sedar ditipu, Mohamad Isa menjelaskan, ketika diberikan nombor pin dan boleh merekrut orang di bawah nama pusat perniagaan.

“Saya mula terlibat Mac 2016, Julai tahun sama saya buka pusat perniagaan dan ketika itu saya mula sedar modus operandi pelik syarikat apabila membenarkan saya merekrut ahli dan sebagainya,” jelas beliau.

80,000 usahawan, artis tertipu – Utusan Online – 6/10/2017 was last modified: October 6th, 2017 by HISYAM



Sumber : PPIM

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password