70% bayaran KL2017 dilunaskan pada syarikat terbabit

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 telah melunaskan pembayaran lebih 70 peratus daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan bagi penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, MASOC menetapkan sasaran melunaskan semua pembayaran kepada pihak yang berkenaan selewat-lewatnya sehingga hujung November ini.

“Pihak MASOC berasa dukacita berhubung dakwaan beberapa artis dan pihak tertentu yang masih belum menerima sebarang pembayaran atas khidmat mereka pada temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 baru-baru ini.

“Pada mesyuarat MASOC bersama Menteri Belia dan Sukan pada 23 Okt , YB Khairy Jamaluddin telah memberikan arahan agar MASOC mempercepatkan segala proses pembayaran, mengambil kira peraturan kewangan yang berkuat kuasa terhadap semua syarikat yang telah dilantik memberikan perkhidmatan mereka pada Kuala Lumpur 2017.

“MASOC kini bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mempercepatkan proses pembayaran berkenaan dengan sasaran kita dapat melunaskan semua bayaran itu sebelum akhir November ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zolkples menjelaskan terdapat dua jenis perolehan bagi KL 2017 iaitu yang dibuat oleh Sekretariat MASOC sendiri selain daripada yang disempurnakan oleh 16 jawatankuasa kecil di bawah MASOC.

Perolehan yang dilakukan oleh 16 jawatankuasa kecil MASOC akan dibayar sekiranya setiap jawatankuasa berkenaan telah mengemukakan permohonan pembayaran yang lengkap mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kewangan Kuala Lumpur 2017.

“Segala perolehan yang dibuat oleh Sekretariat kebanyakannya sudahpun mendapat bayaran awal antara 70 hingga 90 peratus daripada nilai kontrak dan seharusnya syarikat atau agensi berkenaan dapat melunaskan bayaran kepada pihak ketiga yang telah memberikan perkhidmatan mereka.

“Bagaimanapun semua permohonan pembayaran yang dilakukan perlu melalui proses dokumentasi yang lengkap dan teratur mengikut peraturan Perbendaharaan yang ditetapkan,” katanya.

Berita portal tempatan semalam melaporkan penyanyi Datuk Zainal Abidin mendakwa beliau dan beberapa artis lain yang terlibat dalam menjayakan persembahan pada temasya dwitahunan itu masih belum menerima bayaran.

Sementara itu berhubung rungutan sukarelawan yang dikatakan masih belum menerima bayaran elaun mereka, hampir kesemua daripada mereka yang telah mengemukakan tuntutan dan menepati prosedur yang ditetapkan, telahpun dibayar oleh MASOC.

“Bagaimanapun ada juga yang masih belum dibayar terutama atas sebab-sebab teknikal seperti kesalahan nombor akaun bank dan kesilapan butiran peribadi namun jumlah aduan semakin berkurang. MASOC telah menetapkan setiap aduan berhubung kelewatan pembayaran sukarelawan ini diselesaikan dalam tempoh lapan hari bekerja,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung pembayaran atas khidmat yang telah dilakukan boleh menghubungi [email protected] bagi memastikan semua pembayaran berhubung pengelolaan Kuala Lumpur 2017 berjalan lancar.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password