5 fakta menarik Miss Universe dari Afrika Selatan

Sudah termaktub dalam sejarah, jelitawan dari Afrika Selatan, Demi-Leigh Nel-Peters, dinobatkan sebagai juara Miss Universe tahun ini dengan mengetepikan 91 calon dari negara lain.

Pertandingan tahunan itu diadakan di Las Vegas, AS, pada Ahad lalu.

Demi-Leigh, 22, mendahului Ratu Columbia Laura González yang dipilih menjadi naib johan, manakala Davina Bennet dari Jamaica di tempat ketiga.

 

 

Jelitawan Afrika Selatan yang lahir di Sedgefield itu berjaya menambat hati panel juri selepas lancar membicarakan isu kewanitaan, selain lincah memperkatakan isu jurang antara gender.

Di sebalik tiara berkilauan dan senyuman menawan Demi-Leigh, ini lima fakta menarik mengenai Demi-Leigh.

  1. Dia peserta kedua dari Afrika Selatan yang memenangi gelaran Miss Universe sejak pertandingan itu dimulakan pada 1956. Pememang petama yang membuat Afrika Selatan berbangga kali pertama ialah Margaret Gadiner pada 1978.
  2. Demi-Leigh mahir ilmu seni bela diri selepas mengalami peristiwa hitam bergelut dengan penjenayah dan diacu senjata api sebulan selepas memenangi gelaran Miss Afrika Selatan. Pengalaman itu dijadikan sandaran untuk Demi-Leigh menggerakkan kempen mempertahankan diri dikenali sebagai Unbreakable. Ia melengkapi wanita dengan pengetahuan dan kemahiran untuk memperkasakan diri mereka bagi mengelak situasi seperti pernah dialaminya.
  3. Pada waktu terluang, Demi-Leigh akan menghabiskan masa dengan menyertai aktiviti sukan seperti golf.
  4. Dem-Leigh adalah sarjana muda jurusan perniagaan lepasan Universiti North West di Afrika Selatan sebelum bersaing untuk gelaran Miss Universe di Las Vegas.
  5. Pendorong Demi-Leigh adalah adik tiri perempuannya yang berusia 10 tahun, Franje. Franje dilahirkan tanpa serebelum dan tidak dapat bergerak sepenuhnya.

“Dia adalah penggalak semangat dan inspirasi terbesar saya.

“Situasi dihadapinya itu menyebabkan saya bersyukur dan menghargai betapa istimewanya anugerah Tuhan.

“Saya sentiasa mahu bekerja dua kali ganda lebih gigih dan menikmati kegembiraan yang berlipat ganda supaya dapat berseronok untuk adik saya.

“Oleh itu, setiap pengalaman yang saya tempuhi menjadikannya lebih menarik dan istimewa,” katanya.

 

 



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password