15 peratus rakyat abai makan untuk bertahan sampai hujung bulan

 

SEJUMLAH 15 peratus rakyat Malaysia terpaksa mengabaikan makan untuk bertahan sampai ke hujung bulan lapor thesundaily memetik hasil dapatan sebuah kajian yang dibuat.

Menurut tinjauan itu, yang dijalankan oleh Merdeka Centre bermula pada 4 November hingga 14 November terhadap 1,203 pengundi-pengundi berdaftar, mereka mendapati jumlah rakyat Malaysia yang mengeluh tentang masalah ekonomi semakin meningkat.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, situasi itu “sangat membimbangkan” terutama terhadap golongan B40 (golongan 40% ke bawah yang berpendapatan rendah).

barjoyai bardai
Prof Dr Barjoyai Bardai

Beliau menegaskan, golongan Ini langsung tidak mempunyai simpanan pada setiap hujung bulan, manakala simpanan bagi golongan M40 (golongan 40% pertengahan) adalah sangat minimum.

“Golongan B40 mempunyai purata pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000 sementara kos sara hidup minimum di kawasan bandar adalah sebanyak RM2,530. Secara asasnya mereka langsung tidak ada peluang untuk menyimpan, selain wang KWSP,”

“Malah dilaporkan pada tahun 2013, seramai 69 peratus pencarum mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, sementara 54 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM20,000. Bolehkah anda bayangkan kumpulan ini nak bersara pun tak mampu,” katanya kepada The Sun pada hari Khamis.

Barjoyai menyifatkan sebuah “krisis” sedang memuncak tinggi terhadap golongan B40 dan M40 sambil menambah bahawa peningkatan gaji tahunan tidak sepadan dengan peningkatan kos hidup.

“Mereka tidak akan mampu bertahan untuk hidup dalam 10 tahun. Jadi kita perlu memastikan setiap keluarga mempunyai sumber-sumber pendapatan lain selain pekerjaan,” katanya.

Kajian Merdeka Centre yang diterbitkan pada 24 November lalu, sebuah kajian susulan daripada kajian yang telah dibuat pada bulan Januari lalu mendapati:

1. 11 peratus rakyat terpaksa menggadai barang milik mereka untuk memenuhi keperluan perbelanjaan, 1 peratus lebih tinggi berbanding bulan Januari.

2. 29 peratus rakyat tidak mempunyai simpanan minimum RM500 untuk keperluan kecemasan berbanding 33 peratus pada bulan januari.

3. 64% rakyat merasa tertekan memikirkan masa depan, berbanding 68% pada bulan Januari.

4. 40% rakyat terpaksa menangguhkan atau tidak mampu membayar bil utiliti bulanan, seperti elektrik dan telefon, angka diperolehi sama dengan bulan Januari.

5. 20% rakyat terpaksa membuat hutang-hutang baru (sama ada membuat pinjaman peribadi atau menerusi kad kredit) berlaku peningkatan 2% berbanding bulan Januari.

6. 15% mengalami konflik baru dengan keluarga, peningkatan dua peratus berbanding bulan Januari.

Responsen dipilih secara rawak menggunakan keadah sampel berdasarkan etnik, jantina dan umur, daripada kesemua 222 wilayah parlimen, dengan perkadaran berdasarkan populasi bagi setiap daerah parlimen.

Mengulas hasil tinjauan tersebut, seorang lagi pakar ekonomi Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, rakyat marhaen adalah golongan paling menderita disebabkan kerajaan terlalu asyik dengan pertumbuhan ekonomi dan bermain politik.

“Persoalan sebenar yang kita patut tanya ialah, Siapa yang mendapat untung dari pertumbuhan (ekonomi) ini? Bisnes-bisnes besar dan pelabur asing. Tapi rakyat di bawah berbeza ceritanya,” katanya seperti yang dipetik oleh The Sun.

Kata Navaratnam lagi, keseluruhan sistem ekonomi mesti disemak dan dikaji semula, supaya model-model ekonomi baru dapat diperkenalkan untuk menangani isu tersebut.

Sumber : MiloSuam

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password