14.6 juta pemilih berdaftar setakat Jun 2017

Sejumlah 14,622,881 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah 3,797,785 orang bagi tempoh sama.

“Jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2017 adalah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran tukar alamat bagi tempoh sama melibatkan 152,832 orang,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Sehingga 30 September lepas SPR telah melantik 205 penolong pendaftar pemilih bagi membantu urusan pendaftaran.

Beliau berkata urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 September depan sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata statistik Jabatan Insolvensi dari 2013 hingga Ogos tahun ini menunjukkan 23,036 orang yang diisytiharkan bankrap berusia antara 25 dan 34 tahun manakala 1,109 yang berstatus bankrap berumur 25 tahun ke bawah.

Katanya, pada masa ini, purata kes bankrap melibatkan 20,000 orang setahun.

Kerajaan, kata Azalina, memperkenal dasar bagi mengelak seseorang itu dengan mudahnya dijatuhkan bankrap melalui mekanisme penyelamat dikenali sebagai perkiraan sukarela bagi mengelak prosiding kebankrapan.

“Sekiranya penghutang gagal mematuhi skim yang telah dipersetujui, barulah pihak pemiutang boleh meneruskan prosiding kebankrapan ke atas penghutang. Dengan adanya mekanisma penyelamat ini, ia dapat mencegah golongan muda daripada dijatuhkan bankrap dengan mudah,” jelasnya.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password